Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menyindir Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berhubung kenyataan penubuhan Parti Bersama Malaysia (Bersama) dengan menegaskan seseorang itu perlu memenangi kerusi Parlimen terlebih dahulu sebelum bercita-cita menjadi Perdana Menteri.

Bekas Naib Presiden PKR itu berkata, politik tidak seharusnya dijadikan platform untuk mengejar jawatan semata-mata, sebaliknya perlu berteraskan khidmat kepada rakyat.

“Ada yang mengusik kami, katanya kena tunggu lagi dua atau tiga dekad baru boleh jadi PM.

“Kalau niat nak masuk politik sekadar untuk mengejar jawatan dan keutamaannya bukan kepada rakyat, lebih baik pertimbangkan semula politik sebagai khidmat dan fokus kepada kerjaya lain.

“Apa-apa pun, nak jadi PM kena jadi Ahli Parlimen dulu,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.

Nik Nazmi berkata demikian dipercayai sebagai membalas kenyataan Tengku Zafrul sebelum ini yang mendakwa parti Bersama mungkin memerlukan tempoh 20 hingga 30 tahun sebelum mampu melahirkan seorang Perdana Menteri.

Menurut Nik Nazmi, perjuangan membina parti politik bukan sesuatu yang asing buat mereka memandangkan PKR juga pernah bermula sebagai parti kecil tanpa kekuatan besar ketika awal penubuhannya.

“Saya baru baca komen anggota PKR baru, Tengku Zafrul, yang kata yang menubuhkan parti baru itu mungkin kena tunggu 20 ataupun 30 tahun lagi untuk jadi PM. Kalau layak, tak ada masalah bagi kami. Sebab kami di parti Bersama ini, waktu kita buat PKR dulu, PKR tidak ada apa-apa.

“Jadi mungkin untuk Tengku Zafrul susah bayangkan. Paling penting, saya ingat, siapa-siapa nak jadi PM pun, dia kena menang dulu keputusan Parlimen sebelum nak jadi PM. Jadi, kita tunggu dan lihat dalam pilihan raya yang akan datang,” bidasnya.

Kenyataan itu sekali gus mencetuskan spekulasi baharu mengenai hala tuju politik Tengku Zafrul yang ketika ini masih belum mempunyai kerusi Parlimen, termasuk desas-desus beliau mungkin akan dipertaruhkan di Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Merajuk buat parti baru, tak puas hati buat parti baru, kalah bertanding buat parti baru..berapa banyak lagi parti baru untuk orang Melayu berpecah..Teruskan lagi usaha untuk mengecilkan orang melayu.Tahniah kepada mereka yg bakal membawa melayu pulang ke hutan .

Comments are closed.