KUALA LUMPUR – PETRONAS mengumumkan pengambilan alih pegangan ekuiti yang dimiliki oleh Saudi Arabian Oil Company (Aramco) dalam Pengerang Refining Company Sdn. Bhd. dan Pengerang Petrochemical Company Sdn. Bhd. (PRefChem) yang terletak di Kompleks Bersepadu Pengerang di Pengerang, Johor.
Perjanjian yang ditandatangani oleh PETRONAS Refinery and Petrochemical Corporation Sdn. Bhd. (PRPC) itu bakal menjadikan PRefChem menjadi milik penuh dan dikendalikan sepenuhnya oleh kumpulan syarikat PETRONAS.
“Perkembangan terkini dalam pasaran tenaga global telah menekankan kepentingan kecekapan operasi yang tangkas bagi infrastruktur tenaga yang mempunyai kepentingan strategik kepada negara.
“Pemilikan penuh PRefChem mengukuhkan keupayaan PETRONAS untuk menyokong keselamatan tenaga jangka panjang Malaysia serta daya tahan industri negara,” kata Petronas dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut syarikat petroleum negara itu, pengambilalihan tersebut akan membolehkan PETRONAS mengambil kawalan penuh dan terus meningkatkan penyelarasan operasi serta fleksibiliti merentasi rantaian nilai PRefChem.
Ia juga bakal memanfaatkan rangkaian bekalan minyak antarabangsa dan model operasi bersepadu syarikat bagi menyokong kebolehpercayaan dan daya tahan berterusan dalam pelbagai keadaan pasaran.
Secara berasingan, urusan bekalan minyak mentah antara Aramco dan PETRONAS di bawah perjanjian komersial sedia ada tidak terjejas oleh transaksi ini.
PETRONAS kekal teguh dalam komitmennya terhadap keselamatan tenaga Malaysia serta dalam membina kehadiran dan kerjasama antarabangsa yang akan meletakkan Malaysia sebagai negara tenaga progresif untuk beberapa dekad akan datang. -MalaysiaGazette















