KUALA LUMPUR – Insiden kecurian kira-kira 100 meter kabel di Kilometer 95.8 antara Sungai Siput dan Kamunting menyebabkan gangguan kepada sistem persemboyanan sekali gus menjejaskan operasi perkhidmatan tren di sektor utara.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kejadian tersebut dikesan oleh Polis Bantuan KTMB pada awal pagi tadi selepas pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat kehilangan kabel yang memberi kesan kepada sistem semboyan di laluan berkenaan.
“Berikutan insiden itu, beberapa perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Komuter Utara yang melalui laluan berkenaan mengalami kelewatan melebihi 60 minit berbanding jadual asal.
“Antara perkhidmatan KTM Komuter Utara yang terjejas ialah tren No. 2902 yang lewat kira-kira 34 minit, diikuti No. 2904 dengan kelewatan sekitar 40 minit, No. 2903 lewat 23 minit dan No. 2905 lewat kira-kira 25 minit.
“Dalam pada itu, semua perkhidmatan ETS yang melalui laluan sama turut dijangka mengalami kelewatan, termasuk EP9121 yang lewat kira-kira 90 minit, EX9171 lewat 21 minit, EP9323 lewat enam minit dan EG9343 lewat tiga minit,” katanya.
Jelas KTMB, pihaknya memandang serius insiden kecurian kabel berkenaan kerana ia bukan sahaja menjejaskan kelancaran operasi tren, malah turut memberi implikasi terhadap aspek keselamatan serta kebolehpercayaan sistem perkhidmatan rel negara.
Jelasnya, pasukan teknikal KTMB sedang giat melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan bagi menstabilkan semula operasi serta memastikan pergerakan tren dapat kembali beroperasi seperti biasa secepat mungkin.
“Penumpang disarankan untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung status perjalanan dan kelewatan tren melalui media sosial rasmi KTMB.
“Penumpang juga boleh merujuk kakitangan stesen bertugas bagi mendapatkan bantuan lanjut. KTMB memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi dan menghargai kesabaran serta kerja sama para penumpang,” katanya. – MalaysiaGazette















