Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil memaklumkan siasatan terhadapnya berhubung isu penghantaran diesel ke Filipina telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Menurut beliau, keputusan itu dimaklumkan sendiri oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas siasatan mendapati tiada sebarang kesalahan dilakukan.

“Saya baru dimaklumkan oleh Suruhanjaya Komunikasi (MCMC) bahawa siasatan kes terhadap saya dalam isu Diesel ke Filipina telah mendapati tiada tindakan selanjutnya (No Further Action) kerana tiada kesalahan dilakukan, oleh itu telefon bimbit saya akan dipulangkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Isham berkata, sejak awal beliau yakin tidak melakukan sebarang kesalahan dan mempertikaikan tindakan pihak berkuasa merampas telefon bimbit miliknya serta beberapa individu lain berkaitan siasatan tersebut.

“Saya memang tahu dan yakin bahawa saya tidak salah dalam isu ini sebab itu saya tegur tindakan kerajaan apabila merampas telefon saya dan rakan-rakan.

“Dalam undang-undang perlu ada standard yang tinggi apabila kerajaan ingin merampas harta benda awam dan ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya,” katanya.

Dalam nada sinis, beliau turut membidas kerajaan dengan mendakwa pentadbiran hari ini terlalu cepat melatah terhadap kritikan selain mengamalkan pendekatan keras terhadap pihak yang berbeza pandangan.

“Apabila tukar kerajaan kelak insya-Allah kita akan berlaku adil kepada rakyat dalam menangani kritikan dan bukan bertindak kuku besi dan cepat koyak rabak seperti menteri-menteri dan pemimpin politik kerajaan hari ini,” katanya.

Pada masa sama, Isham mendakwa beliau turut menjadi sasaran fitnah oleh cybertrooper prokerajaan susulan isu tersebut sehingga memaksanya menghantar beberapa surat tuntutan (LOD) terhadap individu tertentu.

“Saya juga telah banyak difitnah berkenaan isu ini oleh cybertrooper-cybertrooper penyokong kerajaan. Ada yang saya telah hantar LOD dan ada yang belum.

“Saya nasihatkan kepada mereka supaya tidak sesuka hati memfitnah orang kerana budaya fitnah dalam politik ini adalah barah yang perlu dibuang yang merosakkan sistem demokrasi. Dalam Islam fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya terus memperjuangkan sebuah negara yang bersih dan matang dalam mengurus perbezaan pandangan politik tanpa budaya intimidasi atau fitnah.

Sebelum ini, Isham menyarankan kerajaan agar mendapatkan penjelasan daripada Filipina berhubung sumber sebenar bekalan sebanyak 329,000 tong diesel yang dilaporkan tiba di negara itu dan didakwa berasal dari Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya sekadar menafikan dakwaan tanpa memberikan penjelasan terperinci kepada rakyat.

“Cuba kerajaan Malaysia tanya kerajaan Filipina minyak diesel itu datang dari kilang penapisan mana? Dan jelaskan kepada rakyat.

“Jangan sekadar menafikan. Perkara itu mudah dilakukan oleh sesiapa sahaja. Ini perkara serius. Rakyat ingin tahu,” katanya.

April lalu, media Filipina melaporkan sebanyak 329,000 tong atau kira-kira 52 juta liter diesel dari Malaysia dihantar ke negara jiran tersebut.

Menurut laporan itu, penghantaran tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Filipina memperkukuh bekalan domestik, susulan penghantaran 142,000 tong atau 22.578 juta liter dari Jepun pada 26 Mac. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast