Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik persetujuan dicapai berhubung cadangan lokasi tapak pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya yang diumumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dicapai susulan mesyuarat penyelarasan pada 14 Mei lalu melibatkan agensi Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, perkembangan itu mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam memperkukuh kemudahan kesihatan awam khususnya bagi memenuhi keperluan penduduk di daerah Petaling yang semakin meningkat.

“Usaha mengenal pasti tapak sesuai untuk hospital awam di Petaling Jaya telah digerakkan secara aktif oleh kerajaan negeri sejak 2018 mengambil kira pertumbuhan penduduk di daerah Petaling yang kini mencecah kira-kira 2.3 juta orang.

“Di Petaling Jaya sahaja, jumlah penduduk dianggarkan melebihi 800,000 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketika ini, penduduk sekitar daerah Petaling bergantung kepada kemudahan sedia ada termasuk Hospital Sungai Buloh yang mempunyai kapasiti 1,037 katil; Hospital Shah Alam (490 katil); Pusat Perubatan Universiti Malaya (946 katil) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Amirudin berkata, kerajaan negeri turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menangani isu kesesakan dan akses hospital awam di beberapa kawasan lain di Selangor.

Beliau berkata, Hospital Cyberjaya dan Hospital Tanjong Karang masing-masing siap dibina pada 2022 dengan kapasiti 288 katil dan 150 katil hasil kerjasama antara KKM dan kerajaan negeri berkaitan urusan tanah.

Selain itu, ujarnya, Hospital Kapar yang mempunyai kapasiti 312 katil dijangka siap hujung tahun ini dan bakal membantu mengurangkan kesesakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang serta Hospital Shah Alam.

Menurut beliau, lokasi dicadangkan bagi Hospital Petaling Jaya itu dilihat bersesuaian dari segi akses penduduk, kapasiti pembangunan, kos tanah serta kedudukannya yang berhampiran kawasan tumpuan penduduk.

Katanya, hospital berkapasiti 500 katil itu juga dirancang dibina secara vertikal seperti Hospital Ampang bagi mengoptimumkan penggunaan tanah dan kos pembangunan.

“Lawatan tapak oleh KKM akan dilaksanakan dalam masa terdekat dengan penyertaan agensi kerajaan negeri termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Pejabat Daerah Petaling.

“Kerajaan Negeri Selangor bersedia memudah cara dan mempercepatkan urusan tanah supaya projek Hospital Petaling Jaya dapat direalisasikan demi manfaat penduduk Petaling Jaya, Subang Jaya dan Puchong,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast