GEORGE TOWN – Suasana di tingkat bawah Flat Kampung Melayu, Ayer Itam di sini bertukar meriah seperti ‘mini zoo’ apabila ratusan pengunjung mengambil peluang membawa anak-anak dan keluarga melihat pelbagai haiwan korban sempena sambutan Aidiladha.
Tarikan utama seperti unta, biri-biri, lembu sado dan kerbau seberat hampir satu tan nyata mencuri perhatian pengunjung yang hadir bukan sahaja dari sekitar Pulau Pinang malah luar negeri.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati orang ramai terus memenuhi kawasan berkenaan sejak pagi dengan masing-masing tidak melepaskan peluang bergambar serta melihat sendiri haiwan korban tersebut.
Seorang pengunjung, Noryuafida Md Yunos, 36, berkata, dia sanggup membawa suami bersama tiga anak dari Farlim di sini, untuk melihat sendiri haiwan-haiwan tersebut kerana suasananya sangat jarang dapat dirasai di kawasan bandar.

“Anak-anak memang teruja sebab bukan selalu dapat tengok unta dan kerbau besar depan mata. Biasanya tengok dalam telefon atau televisyen sahaja.
“Bila datang sini, mereka boleh tengok dengan lebih dekat dan pengalaman itu lebih seronok, tambahan pula sempena Aidiladha,” katanya yang berasal dari Kuantan.
Bagi Sofea Zulaika Ya’akob, 19, dari Ipoh, peluang melihat haiwan berkenaan dari dekat memberi pengalaman berbeza kerana kebiasaannya dia hanya melihat haiwan seperti itu di zoo.
“Saya datang dengan keluarga kakak dan memang terkejut sebab suasana meriah macam pesta kampung. Selalu kalau nak tengok unta atau biri-biri kena pergi zoo.

“Dekat sini lebih menarik sebab boleh tengok lama tanpa sebarang bayaran sekali gus rasa kelainan suasana hari pertama Aidiladha,” katanya.
Bagi pegawai bank, Khairul Iqbal Khairul Lizan, 31, berkata, dia singgah membawa anak bersama abang dan adiknya selepas selesai menunaikan solat Aidiladha.
Katanya, peluang melihat pelbagai haiwan korban di satu lokasi menjadi pengalaman menarik terutama buat kanak-kanak yang sebelum ini hanya mengenali haiwan tersebut melalui gambar dan video.

“Anak saya memang seronok sangat bila tengok unta, lembu `sado’ dan kerbau besar. Kami ambil peluang bawa keluarga datang sebab bukan selalu suasana macam ini ada di kawasan perumahan.
“Bagi saya, program macam ini bagus sebab dapat merapatkan masyarakat dan dalam masa sama bagi pendedahan kepada anak-anak mengenai ibadah korban,” katanya.
Sementara itu, penganjur korban, Salim Abdul Rahman berkata, keseluruhan 118 ternakan dikorbankan dalam program berkenaan membabitkan lembu, kambing, unta dan kerbau.
“Sebanyak 64 ekor lembu, kambing (39), unta (8) biri-biri (5) dan masing-masing seekor lembu `sado’ serta kerbau yang beratnya hampir satu tan.

“Kami pilih lakukan korban esok bagi membolehkan orang ramai termasuk dari dalam dan luar negeri datang memeriahkan program yang bermula dari pagi hingga malam melibatkan proses korban sehingga memasak untuk jamuan orang ramai,” katanya. – MalaysiaGazette















