PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat sunat hari raya Aidiladha bersama jemaah di Masjid Putra di sini, pagi ini.
Perdana Menteri yang lengkap berbaju melayu biru muda tiba di masjid berkenaan pada jam 8.05 pagi.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut dilihat hadir.
Solat sunat dipimpin Imam Besar Masjid Putra, Dr Muhammad Zakuwa Rodzali itu turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee.

Sejak jam 7 pagi, pekarangan Masjid Putra mula dipenuhi orang awam termasuk pelancong asing yang tidak melepaskan peluang untuk melihat dari dekat suasana solat sunat Aidiladha.
Khutbah Aidiladha bertajuk ‘Pengorbanan Menuntut Keikhlasan’ yang dibacakan Dr Muhammad Zakuwa antaranya menekankan bahawa ibadah korban bukan sekadar penyembelihan haiwan, tetapi lambang ketaatan penuh kepada Allah SWT seperti ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.
Khutbah itu menegaskan Aidiladha perlu dijadikan medan memperkukuh ketakwaan serta mendidik umat Islam supaya mendahulukan perintah Allah SWT mengatasi kepentingan diri.
Selain menggalakkan amalan kebajikan dan membantu golongan memerlukan melalui agihan daging korban, khutbah itu turut mengingatkan bahawa pengorbanan dalam kehidupan harian seperti menjaga keluarga, mencari rezeki halal, menuntut ilmu dan mempertahankan perpaduan juga merupakan nilai penting Aidiladha.

Umat Islam turut diseru mencontohi kesabaran serta kepatuhan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dalam menghadapi ujian, selain memahami bahawa pengorbanan yang diterima Allah SWT ialah pengorbanan yang lahir daripada hati yang benar-benar ikhlas dan bertakwa.
Sebelum beredar, Anwar meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan jemaah. – MalaysiaGazette
















