ALOR GAJAH – Sepasukan anggota bomba terpaksa dipanggil bagi menyelamatkan seekor lembu korban selepas terjatuh ke dalam longkang di Surau Al Hidayah, Taman Sri Aman, Masjid Tanah di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 10.54 malam itu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan melalui talian terus ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba empat minit kemudian, didapati mendapati seekor lembu untuk dijadikan korban Hari Raya Aidiladha berada di dalam longkang berhampiran surau.
“Operasi mengeluarkan lembu dijalankan sehingga haiwan terbabit berjaya dibawa keluar dengan selamat dan operasi tamat pukul 11.34 malam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, kejadian itu menarik perhatian penduduk setempat yang berada di kawasan surau berkenaan sebelum pihak bomba dipanggil bagi membantu menyelamatkan haiwan terbabit. – MalaysiaGazette
















