Ketua Penerangan DHPP, Dr. G. K. Balachandran. - Foto: FB Dr. Balachandran

KUALA LUMPUR – Kemiskinan dan isu pembangunan di beberapa negeri tidak boleh disandarkan sepenuhnya kepada satu parti politik semata-mata.

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan berpandangan, negeri seperti Kelantan, Terengganu dan beberapa kawasan di Pantai Timur telah lama berdepan cabaran struktur ekonomi serta pembangunan tidak seimbang sejak sekian lama.

Beliau berkata demikian sambil bersetuju dengan kenyataan Ketua Penerangan Pas Pusat yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari bahawa adalah tidak jujur untuk menyalahkan Pas terhadap setiap masalah sosial di negeri ditadbir parti itu.

Sedangkan isu sama di negeri lain dianggap sebagai cabaran nasional yang kompleks.

Balachandran berkata, faktor seperti ketidakseimbangan pembangunan industri, penghijrahan tenaga muda, tumpuan ekonomi di peringkat Persekutuan serta jurang pembangunan infrastruktur turut mempengaruhi keadaan ekonomi sesebuah negeri.

“Dalam masa sama, mana-mana kerajaan yang telah diberi mandat memerintah dalam tempoh panjang juga perlu terbuka kepada penelitian, kritikan membina dan tanggungjawab untuk terus memperbaiki tadbir urus serta peluang ekonomi rakyat.

“Tidak wajar mana-mana pihak hanya melihat sesuatu isu pembangunan daripada sudut politik semata-mata tanpa memahami realiti serta cabaran yang dihadapi negeri-negeri tertentu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Katanya, isu peruntukan pembangunan dan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dengan negeri yang ditadbir pembangkang bukan perkara baharu dalam landskap politik negara.

Jelas beliau, kebimbangan berhubung kelulusan projek serta pengagihan pembangunan pernah dibangkitkan pelbagai parti pembangkang sejak dahulu lagi.

“Dalam sistem Persekutuan yang sangat berpusat, keselarasan politik kadangkala memberi kesan terhadap kelancaran pembangunan sesebuah negeri,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau mengakui terdapat perkembangan positif yang dapat dilihat di Terengganu di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menurutnya, usaha melibatkan penambahbaikan infrastruktur, pelaburan, tadbir urus digital, sektor pelancongan, pengurusan alam sekitar serta kecekapan pentadbiran menunjukkan pembangunan masih mampu dilaksanakan walaupun berdepan kekangan tertentu.

Bagaimanapun semua pihak perlu menerima bahawa tiada kerajaan yang sempurna dan setiap pentadbiran tetap perlu dipertanggungjawabkan terhadap kelemahan yang berlaku.

“Perbezaan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk rakyat dinafikan pembangunan yang adil, sama seperti cabaran struktur tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelak daripada dipertanggungjawabkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast