Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap kepada media selepas meninjau lokasi insiden tren Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir menyebabkan gangguan perkhidmatan ketika di Stesen LRT Chan Sow Lin. Foto MOHD ADZLAN, 29 MEI 2026.

KUALA LUMPUR – Siasatan awal insiden tren tergelincir di Stesen LRT Chan Sow Lin mendapati kemungkinan berlaku masalah pada sistem pertukaran landasan (switch) sehingga menyebabkan dua gerabak pertama keluar sepenuhnya daripada landasan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keadaan itu dipercayai berlaku apabila gerabak pertama berada di landasan yang betul, manakala gerabak seterusnya memasuki laluan berbeza sebelum daya tarikan dari belakang menyebabkan gerabak hadapan tertarik keluar dari landasan.

“Secara keseluruhan, daripada enam gerabak, dua gerabak pertama terkeluar sepenuhnya dari landasan.

“Punca sebenar termasuk sama ada sistem pertukaran landasan itu berfungsi dengan baik atau sebaliknya perlu disiasat secara menyeluruh,” katanya.

Terdahulu, beliau meninjau lokasi kejadian di Stesen LRT Chan Sow Lin bersama pasukan petugas khas dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi mendapatkan gambaran sebenar insiden tersebut.

Menurut beliau, tren yang terlibat dijangka dapat dikeluarkan dari landasan hari ini sebelum kerja-kerja pembaikan dimulakan.

“Selepas tren ini dikeluarkan, kerja pembaikan landasan akan bermula dan dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima hari. Landasan ini dijangka dapat diaktifkan semula pada Rabu, 3 Jun,” katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan di lokasi kejadian di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, perkhidmatan tren dari Ampang ke Sentul Timur akan dihentikan sementara di stesen berkenaan sebelum berpatah balik ke arah Ampang bagi membolehkan kerja pembaikan dijalankan.

“Salah satu landasan tidak dapat digunakan ketika ini kerana tren yang tergelincir masih berada di atasnya dan perlu dikeluarkan menggunakan kren,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa, siasatan menyeluruh akan diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk meneliti tahap fungsi sistem pertukaran landasan terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast