Kompleks Mahkamah Melaka

MELAKA – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas mengaku bersalah mencuri dua telefon bimbit termasuk sebuah iPhone di premis kopi dalam pusat beli belah di sini minggu lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman membuat keputusan itu selepas tertuduh, Arjan Marubin, 36, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah mencuri dua buah telefon bimbit jenama iPhone 11 Pro Max dan Vivo 23E dalam sebuah bangunan yang digunakan sebagai tempat simpanan harta benda daripada milikan seorang wanita.

Kejadian dilakukan di Zus Coffee, Dataran Pahlawan dalam daerah Melaka Tengah di sini kira-kira jam 10 pagi 21 Mei lalu.

Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani mencadangkan hukuman berat kerana barang yang dicuri adalah telefon bombit dan bukannya keperluan asas.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab Malek bagaimanapun merayu tertuduh dikenakan hukuman ringan dengan alasan tertuduh yang masih bujang hanya bekerja sendiri dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Sharda Shienha menjatuhkan hukuman penjara sebulan dari tarikh ditangkap pada 27 Mei lalu dan denda RM1,500.

Tertuduh juga akan dikenakan tambahan sebulan penjara jika gagal bayar denda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast