BUTTERWORTH – Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan memperdagangkan wanita warga Indonesia bagi tujuan buruh paksa antara Ogos tahun lalu hingga Mei ini.
Tertuduh, Tan Kok Teong, 42, dan isterinya, Chan Koon Pheng, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi dalam daerah Timur Laut, Barat Daya dan Seberang Perai Tengah.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Selain pertuduhan bersama, Koon Pheng turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan serupa secara berasingan di hadapan Sheow Yean serta dua pertuduhan lagi di hadapan Hakim, Roslan Hamid.
Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong memohon mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan terhadap setiap tertuduh selain syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Beliau turut memohon kedua-dua tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan antara 1 hingga 5 haribulan selain tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguambela, Arvend Rajan mohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan Koon Pheng merupakan pencari nafkah utama keluarga dengan pendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan selain pasangan itu mempunyai empat anak.
Menurutnya, kedua-dua anak guamnya turut menghidap tekanan darah tinggi dan diabetes serta memerlukan ubat setiap hari.
“Mereka juga telah memberi kerjasama sepanjang siasatan polis sejak ditahan pada 12 Mei lalu dan akan mematuhi sebarang syarat tambahan ditetapkan mahkamah.
“Jaminan yang terlalu tinggi juga merupakan satu bentuk hukuman sedangkan anak guam saya tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin bagi setiap pertuduhan untuk setiap tertuduh menjadikan keseluruhan jaminan RM240,000.
Sheow Yean menetapkan 30 Jun depan untuk sebutan semula kes sementara Roslan pula, menetapkan 2 Julai depan.
Terdahulu, sebaik prosiding selesai, Koon Pheng dilihat menangis teresak-esak di dalam mahkamah ketika merayu bantuan ahli keluarga untuk membayar wang jaminan dalam bahasa Mandarin. – MalaysiaGazette















