Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima laporan berhubung proses penilaian dan pelaksanaan kerja naik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil dan kini sedang meneliti maklumat serta dokumen berkaitan untuk tindakan lanjut.

Bahagian Komunikasi Strategik SPRM memaklumkan, isu tersebut kini dalam perhatian suruhanjaya itu susulan laporan yang disiarkan sebuah portal berita tempatan pada Khamis.

Menurutnya, SPRM sentiasa memandang serius sebarang dakwaan yang mempunyai unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan, khususnya yang melibatkan kepentingan awam serta perolehan kerajaan.

“SPRM mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan bagi memastikan proses penelitian dapat dijalankan secara menyeluruh dan profesional,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, SPRM turut mengingatkan mana-mana individu yang tampil menyalurkan maklumat berkaitan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa supaya tidak mendedahkan perkara tersebut kepada pihak lain.

Menurut SPRM, langkah itu penting bagi mengelakkan kebocoran maklumat selain memastikan ia tidak menjejaskan sebarang proses tindakan lanjut yang sedang dijalankan oleh suruhanjaya berkenaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast