KUALA LUMPUR – Pengeluaran dan gantian MyKad Struktur Baharu akan mula dilaksanakan selepas pelancarannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Oleh itu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menasihatkan orang ramai untuk tidak tergesa-gesa bertukar kepada MyKad Struktur Baharu kerana MyKad sedia ada masih sah digunakan untuk semua urusan rasmi, termasuk penebusan subsidi dan bantuan Kerajaan.
Katanya, sebagai permulaan, pengeluaran dan gantian MyKad Struktur Baharu akan dilaksanakan secara berfasa di Ibu Pejabat JPN Putrajaya dan 18 pejabat JPN terpilih secara sistem janji temu, sebelum diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat.
Pendekatan itu bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar, teratur dan mengelakkan kesesakan di kaunter JPN.
“Jabatan ini telah menetapkan keutamaan pelaksanaan pengeluaran MyKad Struktur Baharu hanya kepada pemohon yang telah membuat janji temu melalui Sistem Janji Temu JPN serta pemegang Kad Pengenalan Plastik (KPP), Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) dan MyKad Versi 1 (Tanpa Ghost-Image),” kata JPN dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam masa yang sama, pemegang KPP, KPT dan MyKad Versi 1 adalah diwajibkan untuk menukar kepada MyKad Struktur Baharu secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun.
Maklumat lanjut serta Soalan Lazim (FAQ) berkaitan pelaksanaan MyKad Struktur Baharu akan tersedia di portal rasmi JPN. -MalaysiaGazette















