Tangkap layar menerusi video tular yang memaparkan seorang pelajar perempuan dipukul sekumpulan pelajar perempuan di kawasan sebuah sekolah di Kota Kinabalu, Sabah.

KUALA LUMPUR – Polis menahan tujuh pelajar sekolah menengah di Sabah bagi membantu siasatan berhubung kes memukul seorang pelajar perempuan yang videonya tular di media sosial sejak semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, semua suspek ditahan kira-kira pukul 3 petang semalam membabitkan enam pelajar perempuan dan seorang pelajar lelaki berusia antara 15 hingga 17 tahun.

Menurut beliau, pelajar lelaki terbabit dipercayai bertindak sebagai individu yang merakam kejadian sebelum video berkenaan tular.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, polis sebelum itu menjalankan siasatan selepas menerima laporan yang dibuat sendiri oleh mangsa sehari selepas kejadian berlaku.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi pada 22 Mei lalu apabila mangsa dipercayai dipukul menggunakan tangan oleh lima pelajar perempuan.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam pada kedua-dua bahu dan kaki, lebam pada telinga kiri serta luka kecil pada lutut kiri,” katanya.

Menurut beliau, semua pelajar yang terlibat dipercayai saling mengenali dan berhubung melalui satu kumpulan WhatsApp dikenali sebagai “Angel”.

Kesemua pelajar yang ditahan telah diberikan jaminan polis sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast