PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah vesel nelayan tempatan dipercayai melakukan pelbagai pelanggaran undang-undang perikanan dan imigresen dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Selangor, petang Rabu lalu.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, vesel berkenaan ditahan kira-kira jam 5.30 petang oleh aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin di kedudukan 15.3 batu nautika barat daya Pulau Tengah.
“Pemeriksaan awal mendapati vesel terbabit dikendalikan oleh seorang tekong bersama tiga kru warga Myanmar berusia antara 25 hingga 46 tahun.
“Hasil semakan mendapati tekong bersama seorang kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, manakala dua lagi kru gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.
“Kesemua mereka juga didapati gagal mengemukakan permit atau surat kebenaran bekerja di atas vesel berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil perkongsian maklumat daripada Sistem Pemantauan Vesel (VMS) Jabatan Perikanan Malaysia mendapati vesel tersebut turut berada di luar kawasan perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Susulan itu, kesemua kru bersama vesel serta hasil tangkapan ikan dianggarkan seberat 500 kilogram diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen, termasuk menggaji warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta berada di luar kawasan perairan perikanan negara tanpa kelulusan.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 selepas dua kru didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Muhaimin menegaskan Maritim Malaysia akan terus memperkukuh rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang dan syarat lesen.
“Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan khususnya di perairan Selangor bagi membanteras aktiviti perikanan haram,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat di talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 bagi tindakan segera,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















