JOHOR BAHRU – Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd Nasir masih berteka-teki sama ada akan kekal atau menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Bekas Ketua PKR Cabang Johor Bahru itu berkata, masing-masing mempunyai pilihan untuk memilih jalan sendiri dalam memperkukuh politik yang matang.
“Dengan adanya komitmen untuk kita terus memperkukuhkan budaya politik yang lebih matang, saya yakin masing-masing ada ruang untuk terlibat mengikut pembawaan yang sesuai dengan pembawaan yang dipilih,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Korban Perdana Aidiladha Parlimen Johor Bahru dan Serahan Cek Cura Naik Taraf Infrastruktur di Masjid Jamek Bandar Baru Uda di sini, hari ini.
Terdahulu beliau ditanya berkenaan langkah politiknya selepas ini sama ada akan meninggalkan PKR dan menyertai Bersama memandangkan beliau sebelum ini sering dirujuk antara individu pro bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Akmal Nasrullah menyifatkan pertanyaan tersebut sebagai soalan yang ‘nakal’ dan pada awalnya mengelak untuk menjawab.
“Memang nakal ni reporter ni,” kata Menteri Ekonomi itu sambil tersenyum.
Pada 17 Mei lalu, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR bergandingan dengan Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga bekas Naib Presiden PKR serta bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, bagi menerajui parti politik berpangkalan di Pulau Pinang itu.
Bersama ddaftarkan pada Disember 2016 dengan matlamat menjadi kuasa ketiga selain memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan serta blok pembangkang.- MalaysiaGazette
















