Mohd Sukki Othman

GEORGE TOWN – Haiwan korban yang mengganas, melarikan diri sehingga tidak dapat dikawal atau membahayakan keselamatan manusia boleh ditembak atau dipanah dalam keadaan darurat mengikut syarak.

Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Sukki Othman berkata, keharusan itu berdasarkan sebuah hadis sahih yang menceritakan seorang sahabat pernah memanah seekor unta yang terlepas dan lari sehingga tidak dapat dikawal dan tindakan tersebut dibenarkan oleh Rasulullah SAW.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, Rafi‘ bin Khudaij menceritakan bahawa seekor unta tawanan terperanjat lalu melarikan diri sebelum dipanah oleh seorang lelaki sehingga mati.

“Sabda Rasulullah SAW; ‘Di kalangan binatang ini, terdapat juga yang liar, sebagaimana binatang yang lain. Justeru, kepada binatang yang bertindak demikian, lakukanlah sebagaimana binatang liar yang lain.’

“Para ulama menjadikan hadis ini sebagai dalil bahawa jika haiwan ternakan tidak lagi dapat dikawal maka ia mengambil hukum seperti binatang buruan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan prinsip itu, sekiranya haiwan korban seperti lembu, kerbau, kambing atau unta mengamuk, melarikan diri sehingga tidak dapat ditangkap, membahayakan nyawa manusia atau berada di tempat yang menyukarkan penyembelihan biasa dilakukan maka harus menggunakan kaedah lain untuk menumbangkannya.

“Dalam keadaan darurat seperti ini, haiwan tersebut boleh dilukakan atau dimatikan dengan senjata yang sesuai seperti anak panah, lembing, tombak atau senjata api yang digunakan oleh pihak berkuasa dan pihak yang berkemahiran.

“Bagaimanapun, hukum asal bagi haiwan ternakan yang dapat dikawal ialah ia mesti disembelih pada bahagian leher mengikut syarak. Tidak harus menembak atau memanah haiwan yang masih boleh ditangkap dan disembelih secara biasa,” katanya.

Tambah beliau, jika tindakan itu dilakukan tanpa keperluan, sembelihan berkenaan tidak sah dan haiwan tersebut dianggap bangkai.

Katanya, bagi memastikan haiwan yang ditembak dalam keadaan darurat itu halal dimakan, beberapa syarat perlu dipenuhi.

“Antaranya, orang yang melepaskan tembakan atau panahan mestilah seorang muslim, menyebut nama Allah ketika melakukannya dan haiwan tersebut mati disebabkan luka daripada senjata yang digunakan.

“Kesimpulannya, Islam tidak menggalakkan haiwan korban ditembak atau dipanah sebagai kaedah biasa penyembelihan. Namun jika haiwan tersebut mengganas, tidak dapat dikawal atau membahayakan keselamatan manusia maka syarak membenarkan kaedah tersebut sebagai langkah darurat.

“Dalam keadaan itu, haiwan berkenaan tetap halal dimakan dan ibadah korban dikira sah sekiranya syarat-syarat yang ditetapkan dipenuhi,” katanya.  – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tindakan MB Perlis lepaskan tembakan terhadap lembu korban wajar disiasat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast