Tangkap layar video tular MB Perlis menembak seekor lembu korban pada majlis korban sempena Aidiladha.

KUALA LUMPUR – Tindakan Menteri Besar Perlis yang menggunakan senjata api terhadap seekor lembu ketika program ibadah korban wajar diberikan perhatian serius dan disiasat secara telus.

Ini kerana ia menimbulkan persoalan mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP), aspek keselamatan serta etika pengendalian haiwan dalam pelaksanaan ibadah korban.

Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Ipoh Timor, Mohamad Norriduan Mohamed Idrus berkata, walaupun alasan yang diberikan adalah bagi mengelakkan mudarat kepada petugas dan orang ramai, tindakan melepaskan tembakan terhadap haiwan dalam program keagamaan dan di hadapan khalayak awam adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Menurut beliau, ibadah korban merupakan syiar Islam yang menuntut sifat ihsan serta pengendalian haiwan secara berhemah dan bertanggungjawab.

“Ihsan kepada haiwan adalah sebahagian daripada tuntutan agama dan cerminan peradaban kita. Dalam situasi haiwan yang terlepas atau mengamuk, keutamaan sepatutnya diberikan kepada kaedah kawalan yang lebih selamat dan profesional oleh petugas terlatih sebelum mengambil tindakan yang melibatkan penggunaan senjata api,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perkara itu menjadi lebih membimbangkan apabila tindakan tersebut dilakukan oleh seorang Menteri Besar yang memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran negeri.

Katanya, kepimpinan melalui teladan amat penting kerana setiap tindakan pemimpin akan menjadi perhatian masyarakat dan berpotensi menjadi contoh kepada orang ramai.

“Kita menghormati keperluan menjaga keselamatan orang ramai, namun penggunaan senjata api dalam keadaan sedemikian tidak seharusnya dianggap sebagai norma atau penyelesaian utama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa berkaitan memberikan penjelasan terperinci mengenai pematuhan SOP, lesen penggunaan senjata api serta garis panduan pengendalian haiwan korban yang digunakan dalam insiden berkenaan.

Menurut beliau, masyarakat berhak mendapatkan penjelasan yang jelas agar kejadian seperti itu tidak menimbulkan kekeliruan serta tidak menjadi preseden yang salah pada masa hadapan.

Mohamad Norriduan Mohamed Idrus

“Keselamatan orang ramai sememangnya perlu diutamakan, namun pada masa yang sama nilai ihsan terhadap haiwan dan pengurusan yang profesional juga tidak boleh diketepikan.

“Keselamatan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengelakkan penelitian terhadap tindakan yang menimbulkan persoalan dari sudut prosedur, etika dan tadbir urus,” katanya.

Tambah beliau, pihak berkuasa berkaitan perlu menjalankan siasatan serta memberikan penjelasan secara telus supaya rakyat memperoleh gambaran sebenar mengenai kejadian tersebut.

“Pemimpin mesti sentiasa dipertanggungjawabkan terhadap tindakan mereka, lebih-lebih lagi apabila melibatkan penggunaan senjata api di tempat awam,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast