KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Madani bertekad memastikan Sabah dan Sarawak menerima manfaat pembangunan yang saksama dan berterusan, atas semangat sambutan Kaamatan dan Hari Gawai.
Menurut Perdana Menteri, usaha itu mesti diterjemah kepada peluang pendidikan yang lebih baik, akses kesihatan yang berkualiti, pembangunan infrastruktur asas yang menyeluruh serta kehidupan yang lebih bermaruah untuk rakyat.
Terdahulu, kata beliau, sambutan Kaamatan dan Gawai adalah perayaan kesyukuran yang berakar daripada tradisi dan warisan masyarakat Sabah dan Sarawak, diraikan penuh makna dalam semangat kebersamaan, muafakat dan penghargaan terhadap nikmat hasil bumi.
Ujarnya, dalam kepelbagaian adat, bahasa dan budaya yang mewarnai negara, sambutan itu mengingatkan bahawa kekuatan Malaysia terletak pada kemampuannya memelihara keharmonian dalam kemajmukan, memperkukuh semangat persaudaraan dan menyuburkan budaya saling menghormati.
“Saya ucapkan Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan dan Gayu Guru Gerai Nyamai kepada seluruh masyarakat Sabah dan Sarawak.
“Semoga sambutan ini membawa kemakmuran, keberkatan serta memperteguh semangat muafakat dan kebersamaan yang menjadi tunjang keharmonian Malaysia tercinta,” katanya menerusi Facebook hari ini. – MalaysiaGazette
















