BAYAN LEPAS – Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan melakukan ugutan jenayah dan menunjukkan isyarat lucah terhadap seorang pengguna jalan raya di Jalan Tun Dr Awang menghala ke Relau di sini, pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.27 pagi apabila suspek yang memandu sebuah Perodua Myvi dipercayai memotong kenderaan pengadu secara mengejut sebelum menunjukkan isyarat lucah dan memberhentikan kenderaannya di hadapan pengadu.
Beliau berkata, suspek kemudiannya keluar dari kenderaan sambil membawa sebatang objek dan menghayunkannya ke arah kenderaan pengadu.
“Kejadian itu dirakam menerusi dashcam milik pengadu dan kemudiannya tular di Facebook sekali gus mendapat perhatian orang ramai.
“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek berusia 37 tahun bagi membantu siasatan.
“Kita turut merampas sebuah Perodua Myvi, sebatang paip PVC, kunci kenderaan serta pakaian yang dipercayai digunakan semasa kejadian bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Anuwal, semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.
“Hasil ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau dan dibenarkan reman selama tiga hari sehingga esok ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Sehubungan itu, kami menyeru orang ramai agar sentiasa mengawal emosi ketika berada di jalan raya serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman pengguna jalan raya lain,” katanya. – MalaysiaGazette















