Ketua Penerangan DHPP, Dr. G. K. Balachandran. - Foto: FB Dr. Balachandran

KUALA LUMPUR – Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Pusat menyifatkan pelbagai dakwaan yang sering dilemparkan terhadap pentadbiran Terengganu sebagai tidak tepat dan mengelirukan, selain gagal menggambarkan keadaan sebenar di negeri itu.

Ketua Penerangan DHPP Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, rakyat perlu menilai sesuatu isu berdasarkan fakta dan pelaksanaan sebenar dasar kerajaan negeri, bukannya mempercayai naratif yang sengaja dibentuk bagi memberikan gambaran negatif terhadap Terengganu.

“Sudah terlalu lama Terengganu dijadikan sasaran pelbagai tuduhan dan persepsi yang tidak menggambarkan keadaan sebenar.

“Apabila sesuatu isu diulang berkali-kali, ia akhirnya dianggap sebagai kebenaran sedangkan hakikatnya banyak dakwaan tersebut tidak tepat dan memerlukan penjelasan yang lebih adil,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pelbagai dakwaan yang sering dimainkan terhadap Terengganu termasuk kononnya kerajaan negeri mengharamkan penjualan minuman keras di hotel, tarian sosial, acara hiburan, persembahan busking, penyertaan atlet wanita dalam SUKMA, persembahan wanita di hadapan lelaki serta operasi salun uniseks.

Menurut Balachandran, kawalan penjualan alkohol di Terengganu sebenarnya tertakluk kepada bidang kuasa negeri dan syarat pelesenan tertentu, bukannya larangan terhadap masyarakat bukan Islam atau majlis persendirian mereka.

Beliau turut menjelaskan bahawa aktiviti tarian sosial tidak diharamkan sepenuhnya, sebaliknya tertakluk kepada garis panduan dan sensitiviti masyarakat setempat serta syarat lesen premis.

“Dakwaan bahawa Terengganu mengharamkan hiburan juga tidak benar. Banyak konsert, festival, program hiburan dan acara pelancongan terus berlangsung di negeri itu termasuk acara berskala besar.

“Begitu juga dengan aktiviti busking yang masih dibenarkan dengan syarat tertentu serta memerlukan kelulusan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan ketenteraman awam terpelihara,” dedah beliau.

Mengulas isu penyertaan atlet wanita dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA), beliau berkata tiada larangan dikenakan terhadap atlet wanita, sebaliknya penekanan diberikan kepada pematuhan garis panduan pakaian dan tatacara pertandingan.

Katanya, dakwaan bahawa wanita tidak dibenarkan membuat persembahan di hadapan penonton lelaki juga tidak menggambarkan situasi sebenar kerana ia bergantung kepada jenis acara, lokasi serta garis panduan yang ditetapkan.

Mengenai salun uniseks pula, Balachandran berkata, premis berkenaan masih beroperasi seperti biasa dan garis panduan yang diperkenalkan lebih menjurus kepada pengasingan ruang serta jenis perkhidmatan bagi menjaga sensitiviti masyarakat setempat.

Dalam pada itu, beliau berkata tumpuan sebenar kerajaan negeri ketika ini adalah kepada usaha memperkukuhkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, bukannya perkara yang sering dijadikan modal serangan politik.

“Terengganu memberi fokus kepada menarik lebih banyak pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan, pembangunan sektor tenaga baharu dan pusat data, selain memperkukuhkan integriti pentadbiran.

“Pada masa yang sama, bantuan berkaitan pendidikan, kesihatan dan keperluan asas rakyat terus menjadi keutamaan, manakala kestabilan politik dikekalkan bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” jelas beliau.

Balachandran berkata, keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama yang dinikmati di Terengganu sejak sekian lama juga membuktikan bahawa perbezaan budaya dan pendekatan tidak pernah menjadi halangan kepada perpaduan rakyat.

“Malaysia ialah sebuah negara Persekutuan yang mempunyai latar belakang masyarakat serta budaya yang pelbagai. Perbezaan itu sepatutnya diraikan sebagai kekuatan dan bukannya dijadikan alasan untuk menyebarkan fitnah atau kebencian.

“Rakyat berhak mendapat gambaran yang benar. Nilailah Terengganu berdasarkan kerja, hasil dan pencapaiannya, bukan melalui persepsi yang sengaja dibentuk untuk tujuan politik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast