KUALA LUMPUR – Dua lagi gerabak tren yang tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin baru-baru ini, berjaya dinaikkan semula ke landasan, pagi tadi.
Rapid KL berkata, susulan itu pasukan teknikal melakukan pemeriksaan menyeluruh demi memastikan baki gerabak boleh dibawa ke depoh dengan selamat menggunakan trak utiliti mengikut jadual pada awal pagi esok.
“Ketika ini pula, kerja-kerja pembaikan kabel kuasa dan komponen penting landasan yang terlibat sedang berlangsung.
“Kami amat menghargai dan berterima kasih di atas kesabaran serta sokongan para pengguna yang terkesan ketika ini.
“Pihak kami sedang berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan situasi ini dengan kadar segera demi keselesaan anda,” tulis Rapid KL menerusi hantaran di Facebook.
Sebagai rekod, semalam dilaporkan sebanyak empat gerabak tren yang tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin baru-baru ini, berjaya dinaikkan semula ke landasan dan dibawa pulang ke depot untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut oleh pasukan teknikal.
Ia susulan insiden sebuah tren Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin akibat kerosakan pada suis landasan yang menjejaskan jadual perkhidmatan pada Khamis lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kemudian menjangkakan landasan yang terjejas akan dapat beroperasi semula selewat-lewatnya pada Rabu depan. – MalaysiaGazette
















