KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan Khamis dan Jumaat ini bagi menyambung perbicaraan kes Lim Guan Eng yang menghadapi pertuduhan rasuah berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Hakim Azura Alwi sebelum ini menetapkan perbicaraan selama dua hari itu diteruskan dengan mendengar keterangan pegawai penyiasat kes pada sesi pemeriksaan balas.
Mahkamah turut menetapkan perbicaraan pada 23 dan 24 Julai, 3 dan 7 Ogos, 9 dan 10 September, 27, 28 dan 29 Oktober, 18 dan 19 November serta 9 dan 10 Disember ini.
Pada 14 Mei lalu, Zulhilmi Ramli, 34, memberitahu, siasatan awal mendapati keterangan tidak mencukupi untuk mendakwa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu terhadap tuduhan tersebut.
Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata, perkara itu disedarinya seawal Januari 2020 ketika menganggotai pasukan petugas khas siasatan kes tersebut.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk suapan RM3.3 juta bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri negeri berkenaan.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi projek sama, yang didakwa berlaku berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. – MalaysiaGazette
















