MELAKA – Pihak pengurusan Birkin International Hotel, Klebang di sini memohon maaf kepada pelanggan yang terjejas susulan insiden kelewatan daftar masuk dan isu tempahan berlebihan yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Menerusi satu notis rasmi yang dimuat naik hotel berkenaan, pihak pengurusan mengakui berlaku masalah sistem yang menyebabkan situasi tempahan berlebihan mengakibatkan penyediaan bilik mengambil masa lebih lama daripada jangkaan.
Menurut kenyataan itu, keadaan tersebut menyebabkan sebahagian tetamu terpaksa menunggu lama dan ada yang gagal mendapatkan bilik seperti yang ditempah.

“Dengan tulus ikhlas kami memohon maaf kepada semua tetamu yang terjejas. Disebabkan masalah pada sistem yang menyebabkan situasi tempahan berlebihan yang tidak dijangka.
“Kami juga berdepan beberapa cabaran operasi, penyediaan bilik mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan,” menurut kenyataan itu.
Pihak hotel turut memaklumkan bahawa protokol pemulangan wang dan pampasan telah diaktifkan serta-merta bagi membantu pelanggan yang terkesan.
“Langkah tambahan turut dilaksanakan untuk memperkukuhkan kawalan tempahan dan proses operasi bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, insiden berkenaan sepatutnya tidak berlaku walaupun pihak hotel telah mengambil tindakan segera membantu pelanggan termasuk memulangkan semula bayaran.
“Perkara ini sepatutnya tidak berlaku, tetapi pihak hotel sudah membantu pelanggan dengan membuat pemulangan wang dan isunya dikatakan berkaitan sistem yang mengalami masalah.
“Sebagai Exco berkaitan saya berpandangan perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan berharap ia tidak berulang lagi pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini

Abdul Razak berkata, pemain industri pelancongan perlu lebih bersedia terutama ketika Melaka menerima kemasukan pelancong yang tinggi.
Menurut beliau, semua hotel di negeri ini dilaporkan mencapai kadar tempahan penuh pada minggu ini, sekali gus menunjukkan permintaan yang sangat memberangsangkan sempena cuti sekolah dan musim pelancongan.
“Pihak industri perlu lebih peka dan bersedia. Banyak usaha telah dilakukan kerajaan negeri untuk menarik pelancong datang ke Melaka dan minggu ini hampir semua hotel di negeri ini dilaporkan penuh ditempah,” katanya.
Isu Birkin International Hotel tular di media sosial selepas beberapa pelanggan mendakwa berdepan kelewatan daftar masuk yang terlalu lama sehingga lebih lima jam menyebabkan pelbagai rungutan dimuat naik di media sosial. – MalaysiaGazette
















