MELAKA – Identiti mayat disyaki dibunuh yang ditemukan dalam keadaan mereput, tangan diikat dan dibungkus dalam lipatan tilam di sebuah rumah kedai di Pokok Mangga di sini, Khamis lalu masih belum dapat dikenal pasti meskipun proses bedah siasat sudah dilakukan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pemeriksaan lanjut oleh pakar forensik sedang dijalankan bagi menentukan jantina dan anggaran umur mangsa berikutan keadaan mayat yang sudah lama dan reput.

Menurutnya, proses berkenaan memerlukan tempoh masa yang agak panjang kerana keadaan fizikal mayat yang telah hancur menyukarkan usaha pengecaman dilakukan dengan segera.
“Bedah siasat sudah dijalankan namun setakat ini jantina dan umur si mati masih belum dapat dipastikan.
“Kita memerlukan masa untuk menjalankan pemeriksaan dan analisis lanjut bagi mengenal pasti identiti mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada 29 Mei lalu, media melaporkan penemuan mayat dalam keadaan mereput di tingkat satu sebuah rumah kedai di kawasan Pokok Mangga selepas pemilik premis terhidu bau busuk ketika membuat pemeriksaan di bangunan berkenaan.
Pemeriksaan polis selepas menerima maklumat itu pada jam 7 petang Khamis lalu kemudiannya menemukan mayat yang dipercayai telah meninggal dunia antara dua minggu hingga sebulan lalu.
Mayat itu ditemukan dibungkus dalam lipatan tilam dengan kedua-dua tangan dipercayai diikat, sekali gus menimbulkan syak wujud unsur jenayah.
Susulan penemuan itu, polis menahan seorang lelaki Melayu berusia lingkungan 40-an yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu selain mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette
















