Premis berkenaan tidak beroperasi ketika kejadian.

GEORGE TOWN – Polis mengklasifikasikan kematian seorang lelaki warga Myanmar dalam kebakaran sebuah premis hiburan di Jalan Penang di sini malam tadi sebagai kes mati mengejut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Lee Swee Sake berkata susulan itu satu laporan mati mengejut (LMM) telah dibuka bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini yang boleh menjejaskan siasatan polis berkaitan punca kematian mangsa serta siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenai punca kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam pada 8.50 malam sebelum pasukan bomba menemukan mayat lelaki warga asing berusia 56 tahun berhampiran pintu masuk hadapan premis berkenaan pada 10.23 malam.

Lee berkata premis itu sedang menjalani kerja pengubahsuaian untuk dijadikan restoran dan mangsa dipercayai pekerja kepada kontraktor yang melaksanakan kerja tersebut, namun siasatan masih dijalankan.

Terdahulu, Pengarah JBPM Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah berkata kebakaran melibatkan sebuah premis dua tingkat berkeluasan 1,393.54 meter persegi yang dijadikan pusat hiburan dikenali sebagai Midnight Black, yang beroperasi di bangunan bekas pawagam Odeon, dengan anggaran kemusnahan sebanyak 70 peratus.

Mohamad Shoki berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamad Boshi Sabi Ullah ditemukan dalam keadaan melecur tahap satu berhampiran pintu keluar bangunan dan dipercayai terperangkap ketika kebakaran berlaku sebelum cuba keluar untuk menyelamatkan diri. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast