KUALA LUMPUR – Cadangan reformasi dasar dadah yang diketengahkan tidak bertujuan menormalisasi atau menghalalkan penggunaan dadah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli berkata, ia sebaliknya menekankan keperluan membantu individu yang mengalami kebergantungan dadah melalui rawatan, sokongan sosial dan peluang untuk kembali berfungsi dalam masyarakat.
“Kita perlu membezakan antara pengedar dan sindiket dadah yang mesti ditangani secara tegas dengan individu yang bergelut dengan ketagihan dan memerlukan bantuan untuk pulih,” katanya semasa berucap merasmikan Konvensyen Kepulihan Kebangsaan 2.0 di sini hari ini.
Dalam majlis sama, beliau juga melancarkan kertas dasar bertajuk “Ke Arah Polisi Dadah Berteraskan Rahmah dan Maqasid Syariah: Keperluan Reformasi Dasar Dadah di Malaysia”.
Kertas dasar tersebut diterbitkan hasil kerjasama Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Drug Policy Program Malaysia (DPPM) di bawah Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Malaysia Substance Abuse Council (MASAC) dan beberapa rakan strategik lain.
Mengulas kertas dasar tersebut, jelas Marhamah, dokumen yang berteraskan Maqasid Syariah itu memberi penekanan kepada pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta melalui pencegahan, rawatan, pemulihan, pembangunan kerohanian serta reintegrasi sosial.
“Antaranya pengalihan kes tertentu daripada sistem jenayah kepada sistem rawatan, pelaksanaan sistem rujukan bersepadu antara agensi, program pembangunan kerohanian, keadilan restoratif serta intervensi berperingkat seperti rawatan wajib, khidmat masyarakat dan program pendidikan,” katanya.
Marhamah turut menegaskan, kertas dasar tersebut tidak bermaksud kerajaan menerima atau akan melaksanakan semua cadangan yang dikemukakan sebaliknya ia merupakan sumbangan pemikiran yang wajar dibincangkan secara ilmiah oleh semua pihak berkepentingan.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Penjara Malaysia serta pelbagai agensi dan pertubuhan masyarakat.
“Kesemua agensi dan pihak ini memainkan peranan penting dalam usaha pencegahan, penguatkuasaan, rawatan dan pemulihan dadah,” katanya lagi.
Menurut Marhamah, Islam melarang penyalahgunaan dadah kerana kemudaratannya terhadap akal, nyawa dan kesejahteraan manusia.
Usaha menangani masalah ketagihan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan menggabungkan aspek penguatkuasaan, pencegahan, rawatan dan pemulihan.
“Pendekatan tersebut selaras dengan konsep rahmah, taubat dan islah yang menjadi tunjang dalam Islam serta bertepatan dengan prinsip Maqasid Syariah,” katanya. – MalaysiaGazette
















