Datuk Seri Hajiji Noor. Foto MOHD ADZLAN, 30 NOVEMBER 2025.

KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah mengalu-alukan pengumuman bayaran geran khas interim sebanyak RM1.5 bilion kepada negeri itu dan berharap dana berkenaan dapat disalurkan segera demi manfaat rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam amat dihargai, di samping menyambut baik jaminan Anwar untuk terus menghormati dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan menunaikan apa yang dijanjikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hajiji berkata jaminan yang diberikan Perdana Menteri ketika merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan terhadap hak-hak Perlembagaan Sabah.

Beliau menegaskan kerajaan negeri komited untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan semua peruntukan di bawah MA63, khususnya pemberian khas 40 peratus, dapat direalisasikan.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan peningkatan geran khas interim kepada Sabah yang melonjak kepada RM1.5 bilion tahun ini berbanding RM600 juta sebelum ini.

Beliau berkata langkah itu dilaksanakan sebagai penyelesaian sementara menunggu kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri itu dimuktamadkan menerusi perundingan rasmi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast