Empat individu termasuk seorang wanita ditahan dalam Op Tapis dan Op Taring yang dijalankan JSJN IPD Lahad Datu bersama BN17 PGA Lahad Datu di Kampung Manar, Tungku dan Kampung Panji. - Foto: Facebook Polis Daerah Lahad Datu

KUALA LUMPUR – Empat individu termasuk seorang wanita ditahan bersama dadah disyaki syabu seberat 0.51 gram dalam dua operasi berasingan menerusi Op Tapis dan Op Taring yang dijalankan di Lahad Datu, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, tangkapan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dengan kerjasama Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu.

Menurutnya, operasi berkenaan berjaya menahan empat suspek serta merampas dadah dipercayai jenis syabu dalam serbuan yang dijalankan di Kampung Manar, Tungku dan Kampung Panji.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada empat suspek positif dadah, manakala seorang wanita yang ditahan didapati negatif.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis akan terus mempergiat operasi membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah berkenaan.

Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang sentiasa bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan aktiviti dadah.

“Sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah boleh disalurkan kepada IPD Lahad Datu di talian 089-881111 atau Hotline JSJN Sabah di 088-288222,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast