Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Presiden Putra merayu kepada seluruh Majlis Pimpinan Perikatan Nasional (PN) dan penyokong akar umbi, tidak perlulah masing-masing berlumba menjadi hero sampai terlupa rumah sendiri sedang dibakar.

Menurut Datuk Ibrahim Ali, setiap kata-kata panas sedang dikutip cybertrooper lawan sebagai peluru percuma.

“Jika PRU-16 nanti PH (Pakatan Harapan) dan sekutunya menang walaupun sarat kelemahan, jangan terkejut kalau puncanya bukan kerana mereka terlalu kuat tetapi kerana PN sendiri gagal menjaga lidah, gagal menjaga saf dan gagal membezakan antara melawan musuh dengan mencederakan kawan sendiri.

“Rupa-rupanya pepatah Melayu zaman dulu masih relevan, menang sorak kampong tergadai (rasa kuat tapi kalah) bunyi guruh di langit tapi hujan tak turun atau ayam berkokok tapi hari tak siang.

“Rasa kuat dan hebat tapi gagal rampas Putrajaya PRU-16.Sebabnya masing-masing hilang akal yang waras. Ini adalah luahan nasihat Tok Him manusia kerdil bersama Parti Putra yang dilabel kecil tapi berjiwa besar dan sentiasa berlapang dada, tidak hipokrit dan sentiasa rendah diri dalam kelantangan perjuangan demi bangsaku Melayu, rakyat Malaysia dan negara yang sedang hancur akibat madanon yg munafik.

“Bersatulah wahai keluarga besar PN jika ingin merampas Putrajaya demi rakyat Malaysia yg mahukan kerajaan yang berintegriti dan berakhlak,” katanya dalam kenyataan.

Ibrahim berkata demikian mengulas krisis yang berlaku antara PN termasuk Bersatu dan Pas yang memungkinkan berlaku perpecahan antara pembangkang.

Beliau juga menasihati pembangkang supaya jangan terpedaya dengan suasana perpecahan antara Barisan Nasional (BN) dan PH sekarang kerana mereka saling memerlukan sesame sendiri.

“Jangan terlalu mudah percaya PH dan UMNO benar-benar akan berpecah. Dalam politik, gaduh di pentas tidak semestinya bermusuh di bilik rundingan. (Datuk Seri Ahmad) Zahid (Hamidi) tidak mudah meninggalkan Anwar kerana UMNO masih bergantung kepada nafas Putrajaya.

“Anwar pula tidak mudah membuang UMNO kerana tanpa UMNO, kerajaan Madani kehilangan tongkat Melayu paling penting,” katanya.

Sebab itu pergaduhan PH dan UMNO boleh jadi hanya retak terkawal untuk menghilangkan label UMDAP, dakwanya.

UMNO mahu penyokong Melayu percaya mereka masih melawan DAP dan DAP pula mahu penyokong mereka percaya DAP masih berani menekan UMNO.

“Sedangkan kerajaan tetap berjalan, kuasa tetap dikongsi dan rundingan tetap berlaku. Jangan sampai PN termakan wayang lawan lalu memecahkan rumah sendiri,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast