KUALA LUMPUR – Semua platform media sosial berlesen di negara ini diwajibkan melaksanakan pengesahan umur pengguna bermula hari ini bagi memastikan hanya individu berusia 16 tahun ke atas boleh mendaftar dan mengakses perkhidmatan yang bersesuaian.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, langkah itu dilaksanakan menerusi penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (Child Protection Code, CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (Risk Mitigation Code, RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).

Menurut MCMC, penguatkuasaan berkenaan merupakan satu langkah penting ke arah mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat untuk kanak-kanak di Malaysia.

“CPC memperkukuh perlindungan kanak-kanak dengan mewajibkan pemberi perkhidmatan media sosial berlesen melaksanakan langkah keselamatan kanak-kanak dalam reka bentuk platform serta meningkatkan perlindungan yang bersesuaian dengan umur pengguna,” menurut kenyataan itu hari ini.

MCMC menjelaskan, pengesahan umur perlu dibuat berdasarkan rekod yang dikeluarkan Kerajaan Malaysia atau dokumen setara yang diiktiraf kerajaan bagi pengguna luar negara.

Katanya, mulai hari ini, penyedia media sosial berlesen perlu memastikan hanya pengguna berumur 16 tahun dan ke atas dibenarkan membuka akaun baharu serta mengakses ciri-ciri yang sesuai dengan peringkat umur mereka.

Bagi pengguna sedia ada, tambahnya, proses pengesahan umur akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh sehingga enam bulan.

Ujarnya, pengguna yang dikenal pasti berumur bawah 16 tahun akan diberikan tempoh sebulan untuk memuat turun atau memindahkan data mereka termasuk gambar dan video sebelum sebarang sekatan atau penggantungan dikenakan.

“Keperluan baharu ini melibatkan platform media sosial berlesen termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap isu keselamatan dalam talian serta perkembangan kanak-kanak,” katanya.

MCMC turut mengingatkan semua penyedia platform supaya mematuhi sepenuhnya obligasi statutori di bawah CPC dan ONSA, termasuk melaksanakan sistem pengesahan umur yang berkesan dalam tempoh ditetapkan.

Menurut suruhanjaya itu, tindakan kawal selia dan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi keperluan tersebut.

Selain itu, RMC mewajibkan penyedia perkhidmatan melaksanakan langkah perlindungan proaktif seperti penilaian risiko, penyederhanaan kandungan yang lebih berkesan, kawalan keselamatan pengguna serta peningkatan akauntabiliti platform. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast