Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berucap pada majlis pengumuman hala tuju politik baharu di PJ Performing Arts Centre, One Utama. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 Mei 2026. (Gambar fail),

KUALA LUMPUR – Rakyat kini dikatakan sedang tertunggu-tunggu untuk mendengar formula terbaharu daripada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli selepas beberapa formula yang diketengahkannya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) antaranya mesin layan diri dan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) didakwa tidak mencapai hasil yang diharapkan.

Naib Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Shah Rizan Shah Ramli berkata, pelbagai formula baharu dijangka diperkenalkan bekas Timbalan Presiden PKR itu apabila Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU-16.

“Untuk pengetahuan semua, formula-formula baharu ini nanti tidak relevan dan ia akan merugikan rakyat serta negara.

“Ini kerana Rafizi gagal memikul amanah serta mandat yang diberikan kepadanya ketika menjawat jawatan Menteri Ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Shah Rizan, Rafizi hanya pandai bercakap sehingga menyebabkan rakyat terpengaruh dengan formula-formula yang dibawanya.

Katanya, hakikat sebenar menunjukkan formula tersebut tidak memberi hasil seperti yang dijanjikan dan akhirnya merugikan rakyat.

“Yang mendapat keuntungan sebenar adalah Rafizi Ramli dan kumpulannya kerana setiap formula yang hendak dilakukan memerlukan modal atau dana daripada kerajaan.

“Jadi di sini, rakyat kena peka apabila Rafizi membuat siri jelajah negeri untuk berkempen bagi PRU16 akan datang menerusi platform Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan jangan terpengaruh dengan janji-janji formula baharu yang diketengahkannya,” katanya.

Untuk rekod, Rafizi sering dikenali sebagai “raja formula” susulan kecenderungannya mengemukakan pelbagai formula, unjuran dan cadangan dasar berkaitan ekonomi serta kos sara hidup sejak sebelum PRU-15.

Bagaimanapun, pengkritik berpendapat sebahagian besar formula yang pernah diketengahkan beliau gagal diterjemahkan kepada penyelesaian menyeluruh ketika memegang jawatan Menteri Ekonomi.

Sebelum ini, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, manifesto Parti Bersama yang dibentangkan Rafizi disifatkan ibarat ‘angan-angan Mat Jenin’ kerana dilihat terlalu idealistik dan sukar dilaksanakan.

Menurut Mashitah, 12 agenda utama yang diketengahkan bekas Ahli Parlimen Pandan itu sememangnya kedengaran menarik, namun kebanyakannya lebih bersifat populis berbanding pelan dasar yang benar-benar praktikal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast