Foto: AFP

LONDON – Enam orang ditikam beberapa jam selepas perarakan kemenangan Arsenal, manakala 24 tangkapan dibuat sepanjang acara itu, menurut Polis Metropolitan, lapor PA Media/dpa.

Ribuan penyokong Arsenal memenuhi jalan di sekitar Stadium Emirates di London pada Ahad ketika pasukan itu mengadakan perarakan trofi Liga Perdana.

Polis Metropolitan mengerahkan lebih 500 anggota bagi mengawal acara berkenaan. Sepuluh suspek ditahan kerana disyaki menyerang polis, termasuk seorang yang didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman.

Menurut polis, seorang anggota mengalami luka di tangan akibat ditetak, manakala seorang lagi cedera di kepala selepas terkena objek yang dibaling orang ramai.

Tangkapan lain dibuat atas pelbagai kesalahan termasuk serangan seksual, menyebabkan kecederaan parah, memiliki dadah kelas C, memiliki pisau, mabuk dan berkelakuan tidak senonoh, menghalang polis, merusuh serta melanggar arahan bersurai.

Empat van polis di Islington turut kemek dan mengalami kerosakan pada lampu.

Pada Ahad, Pasukan Bomba London mengingatkan penyokong supaya tidak memanjat bumbung selepas anggota penyelamat terpaksa menyelamatkan 75 penyokong yang terkandas di tempat tinggi.

Polis Metropolitan berkata enam kejadian tikaman berlaku pada sebelah malam selepas kebanyakan orang ramai pulang.

Kebanyakan mangsa tidak mengalami kecederaan serius, namun seorang lelaki berusia 20-an dibawa ke hospital dalam keadaan mengancam nyawa sebelum dilaporkan stabil.

Susulan kejadian itu, polis diberi kuasa tambahan untuk melakukan pemeriksaan dan penggeledahan sepanjang malam.

Komander Stuart Bell yang mengetuai operasi ketenteraman awam Polis Metropolitan bagi perarakan itu, mengucapkan terima kasih kepada sebahagian besar daripada ratusan ribu penyokong Arsenal yang hadir meraikan kejayaan pasukan itu secara selamat dan bertanggungjawab.

Beliau berkata kehadiran polis di sepanjang laluan perarakan bertujuan membantu penganjur dan operasi kawalan orang ramai.

“Bagaimanapun, kami telah menegaskan bahawa keganasan dan jenayah lain tidak akan diterima.

“Malangnya, terdapat beberapa kelompok tingkah laku antisosial dan insiden yang memerlukan campur tangan anggota polis, termasuk serangan terhadap rakan setugas mereka.

“Ketika malam semakin lewat dan kebanyakan orang ramai pulang, keganasan lanjut berlaku termasuk insiden berkaitan kumpulan samseng.

“Anggota polis segera berada di lokasi setiap kejadian tikaman dan siasatan sedang dijalankan,” katanya.

Ketua Superintendan Jason Stewart berkata acara itu merupakan peristiwa besar dan penting kepada komuniti setempat serta penyokong Arsenal secara keseluruhan.

Beliau berkata polis bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan rakan lain dalam merancang serta mengawal acara itu sepanjang hari.

“Anggota kami kembali melakukan rondaan hari ini bagi memberi jaminan keselamatan secara jelas, manakala pasukan siasatan sedang berusaha mengenal pasti pesalah dan membawa mereka ke muka pengadilan.

“Kami bersama komuniti setempat dalam menentang keganasan,” katanya. – BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast