Sebahagian pelajar yang mengambil bahagian dalam Bengkel Akhma (Akhbar dan Majalah) untuk menghasilkan jurnal bertujuan untuk memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar sekolah ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di WTCKL, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 02 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Ketika ramai pelajar hari ini lebih tertarik kepada video pendek di TikTok dan pelbagai kandungan media sosial, sekumpulan murid dari seluruh negara memilih pendekatan berbeza apabila menghabiskan masa menggunting, menyusun dan membukukan keratan akhbar serta majalah sebagai bahan rujukan ilmu.

Suasana itu dapat dilihat menerusi Bengkel Buku Akhbar dan Majalah (AKHMA) yang menghimpunkan 200 pelajar dan guru sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Di atas meja, helaian akhbar dan majalah dipilih mengikut tema sebelum digunting, ditampal dan disusun menjadi koleksi rujukan yang boleh dikongsi dengan warga sekolah.

Apa yang kelihatan seperti aktiviti ringkas itu sebenarnya membawa matlamat lebih besar iaitu menggalakkan budaya membaca serta memastikan bahan bacaan yang dibekalkan ke sekolah tidak terbiar begitu sahaja.

Rekaan jurnal yang menarik dihasilkan oleh sebahagian pelajar yang mengambil bahagian dalam Bengkel Akhma (Akhbar dan Majalah) untuk menghasilkan jurnal bertujuan untuk memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar sekolah ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di WTCKL, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 02 JUN 2026.

Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Moktar Wahid berkata, program berkenaan diwujudkan bagi menggalakkan murid membaca daripada sumber yang sahih selain mengoptimumkan penggunaan akhbar dan majalah yang diterima sekolah.

Menurutnya, kebanyakan sekolah menerima pelbagai akhbar dan majalah yang dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan, namun sebahagian kandungannya mungkin tidak dimanfaatkan sepenuhnya selepas dibaca.

“Kita mahu mengambil kandungan daripada surat khabar dan majalah yang mungkin kurang menarik kepada murid hari ini, kemudian menukarkannya kepada bentuk yang lebih mesra dan dekat dengan minat mereka.

“Yang penting, mereka perlu membaca terlebih dahulu sebelum menghasilkan bahan itu. Secara tidak langsung kita menggalakkan murid mendapatkan maklumat daripada sumber yang betul dan sahih,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada program berkenaan hari ini.

Beliau berkata, melalui AKHMA, murid akan memilih artikel tertentu sebelum menggunting, menyusun dan membukukannya mengikut tema, isu, tarikh atau kategori yang ditetapkan.

Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Moktar Wahid ketika ditemubual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di WTCKL, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 02 JUN 2026.

Hasilnya bukan sahaja dapat dikongsi dengan rakan-rakan lain, malah boleh ditempatkan di pusat sumber sekolah sebagai bahan rujukan untuk kegunaan jangka panjang.

Menurut Moktar, pendekatan itu juga membantu mengatasi kekangan bahan fizikal di pusat sumber sekolah yang lazimnya hanya boleh digunakan oleh seorang murid pada satu-satu masa.

“Sesetengah sekolah menerima sembilan akhbar, ada yang menerima sehingga 15 akhbar dan majalah.

“Kita mahu kandungan yang terdapat dalam bahan-bahan ini dimanfaatkan sepenuhnya.

“Bila kandungan itu dihimpunkan semula dalam bentuk buku atau kompilasi, lebih ramai murid boleh mengakses dan menggunakannya pada masa yang sama,” ujarnya.

Beliau berkata, program yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu mendapat sambutan lebih menggalakkan berbanding tahun lalu.

Ini sekaligus menunjukkan bahan bacaan bercetak masih mempunyai tempat dalam kalangan generasi muda apabila disampaikan melalui pendekatan yang kreatif.

Mengambil inspirasi daripada PBAKL, peserta turut digalakkan meneroka pelbagai bahan bacaan lain di luar bilik darjah termasuk sumber percuma yang boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan bahan AKHMA yang lebih menarik dan pelbagai.

Moktar berkata, pihaknya turut melihat potensi memperluaskan program berkenaan ke seluruh negara melalui rangkaian Pusat Kegiatan Guru (PKG) dengan mewujudkan perkongsian bahan antara sekolah.

Menurutnya, langkah itu dapat membantu merapatkan jurang akses kepada bahan bacaan berkualiti, terutama bagi sekolah yang tidak mempunyai kemampuan mendapatkan majalah atau terbitan tertentu.

“Ada sekolah yang mampu mendapatkan bahan seperti majalah khas atau terbitan premium, manakala sekolah lain mungkin tidak mempunyai akses yang sama.

“Melalui rangkaian PKG, bahan-bahan ini boleh dihimpunkan dan dipinjam oleh sekolah lain supaya lebih ramai murid mendapat manfaat,” katanya.

Beliau turut menolak tanggapan rakyat Malaysia semakin kurang membaca dengan menyifatkan sambutan terhadap PBAKL sebagai bukti sebaliknya.

Katanya, PBAKL 2026 yang berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun di WTCKL dengan tema “Malaysia Membaca; Merayakan Buku” terus mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat.

Dalam tempoh empat hari pertama penganjurannya sahaja, pesta buku terbesar negara itu merekodkan kehadiran lebih sejuta pengunjung melepasi 50 peratus daripada sasaran keseluruhan yang ditetapkan penganjur.

Penganjuran edisi ke-43 itu turut menghimpunkan 1,210 reruai daripada 232 syarikat penerbitan dan organisasi berkaitan buku, termasuk 209 pempamer tempatan serta 23 penyertaan antarabangsa.

Bagi Moktar, angka itu membuktikan minat masyarakat terhadap buku dan bahan bacaan masih kukuh, memberi suntikan semangat kepada usaha memperluaskan budaya membaca dalam kalangan murid melalui program seperti AKHMA.

“Ramai yang beranggapan masyarakat hari ini kurang membaca, tetapi apabila kita melihat sambutan di PBAKL, jelas masih ramai yang mencari buku dan bahan bacaan berkualiti.

“Sebab itu kita mahu semangat yang ada di pesta buku ini dibawa kembali ke sekolah supaya budaya membaca terus berkembang dalam kalangan murid,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast