Seorang bayi lelaki berusia sebulan cedera selepas dipercayai tercampak keluar dari sebuah kereta dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Balai Panjang, Melaka malam tadi.

MELAKA – Bayi lelaki berusia sebulan cedera selepas dipercayai tercampak keluar dari sebuah kereta dalam nahas di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Balai Panjang di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, bayi berkenaan ditemukan di kawasan berumput berhampiran lokasi kemalangan selepas dipercayai tercampak dari kenderaan semasa kejadian tersebut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Halim Abas berkata, kemalangan melibatkan sebuah Proton Saga yang dinaiki tiga sekeluarga dengan sebuah lagi kenderaan lain yang sudah dikenal pasti.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Proton Saga itu keluar dari kawasan stesen minyak Petronas di Balai Panjang untuk memasuki Lebuh AMJ sebelum terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lagi kenderaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas

“Siasatan awal mendapati, bayi berkenaan berada dalam pangkuan ibunya berusia 25 tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang ketika kejadian.

“Bayi tersebut dipercayai telah terkeluar daripada kenderaan semasa kemalangan dan berada di kawasan berumput berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Halim berkata, bayi berkenaan yang mengalami bengkak di bahagian kepala kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka bersama ibunya yang mengalami sakit belakang.

“Kedua-dua mereka bagaimanapun dibenarkan pulang selepas disahkan stabil manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Polis telah mengenal pasti kenderaan yang dipercayai terlibat dalam kemalangan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Adhwa Jamal di talian 011-26905852 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast