Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Seluruh jentera dan ahli Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) diseru supaya bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang semakin hampir susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, PRN kali ini bukan sekadar satu pilihan raya biasa, sebaliknya merupakan ujian penting terhadap tahap perpaduan, disiplin dan semangat juang seluruh anggota parti.

Katanya, Melaka dan Negeri Sembilan dijangka mengambil langkah sama seperti Johor dalam masa terdekat.

“Peluang sentiasa berpihak kepada mereka yang bersedia dan kemenangan milik pasukan yang tidak pernah berputus asa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dominic berkata, semua jentera parti perlu memperkukuhkan organisasi di setiap peringkat, merapatkan hubungan dengan rakyat serta meningkatkan usaha penerangan bagi memastikan mesej perjuangan parti dapat disampaikan dengan berkesan.

Beliau turut menggesa ahli-ahli parti supaya menghadapi PRN yang bakal berlangsung dengan penuh keyakinan, kesatuan dan semangat perjuangan yang tinggi demi membawa suara rakyat serta memperkukuhkan perjuangan parti.

“Bersatu kita teguh, bergerak kita mara. PRN semakin hampir, misi mesti berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan situasi semasa sebagai petanda bahawa gerak kerja pilihan raya perlu dipertingkatkan dengan segera.

“Gendang perang telah berbunyi, jentera bergerak sepenuh hati. Bersedia, berjuang dan melakar kemenangan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast