Anggota bomba sedang memadam kebakaran melibatkan Sebuah kilang yang menghasilkan bahan dan peralatan transformer untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kawasan Perindustrian Sungai Purun, Jalan Bangi Lama, Semenyih, awal pagi tadi.

SEMENYIH – Sebuah kilang yang menghasilkan bahan dan peralatan transformer untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kawasan Perindustrian Sungai Purun, Jalan Bangi Lama di sini, mengalami kebakaran awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.29 pagi.

“Jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih tiba di lokasi tujuh minit kemudian.

“Kebakaran melibatkan sebuah kilang pengeluaran transformer kelas A berkeluasan kira-kira 20,000 kaki persegi.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, kami mendapati api sedang marak dan memusnahkan kira-kira 40 peratus struktur kilang.

“Operasi pemadaman segera dijalankan bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lain,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Anggota bomba sedang memadam kebakaran melibatkan Sebuah kilang yang menghasilkan bahan dan peralatan transformer untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kawasan Perindustrian Sungai Purun, Jalan Bangi Lama, Semenyih, awal pagi tadi.

Beliau berkata, operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Bangi dan BBP Kajang dengan kekuatan keseluruhan 18 anggota serta empat jentera termasuk sebuah lori tangki air.

Jelasnya, bomba menggunakan empat aliran hos sepanjang 300 kaki dengan tiga pancutan nozzle bagi memadamkan kebakaran, manakala sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran serta jentera tangki air.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6 pagi dan sehingga jam 9.30 pagi, kira-kira 90 peratus api telah dipadamkan.

“Baki 10 peratus lagi melibatkan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.

Operasi di lokasi diketuai Komander Operasi, PBK II Azmi Katmin, manakala Pegawai Operasi Ibu Pejabat Negeri, PgB Qalam Abdul Halim dan Komander Operasi Kanan (KOK), PKPgB Ahmad Khomeini Kamarudzaman turut berada di lokasi bagi memantau operasi.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast