Nga Kor Ming

IPOH – Sesebuah bandar tidak dapat berkembang secara mampan dengan hanya bergantung kepada infrastruktur fizikal semata-mata kerana seni, budaya dan hubungan sesama manusia turut memainkan peranan penting dalam membentuk komuniti yang memiliki semangat kekitaan dan identiti tersendiri.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kerajaan sememangnya komited untuk mempertingkatkan infrastruktur awam, menaik taraf kemudahan dan membina lebih banyak rumah mampu milik, namun pembangunan bandar tidak seharusnya terhad kepada pembinaan bangunan dan kemudahan fizikal.

“Kemajuan sesebuah bandar tidak boleh diukur berdasarkan infrastruktur fizikal semata-mata. Tanpa seni, budaya dan hubungan kemanusiaan, bandar yang paling moden sekalipun berisiko kehilangan rohnya.

“Kita mampu membina bangunan pencakar langit bertaraf dunia, namun jika penghuninya tidak dapat menikmati kebahagiaan dan semangat kekitaan, maka kita belum mencapai kejayaan yang sebenar,” katanya ketika merasmikan MADANI Philharmonic Musical Concert 2026: A Tune of Friendship and Unity in Harmony di Auditorium RTM di sini malam ini.

Beliau berkata seni, budaya dan inisiatif komuniti memainkan peranan penting dalam mentransformasikan bandar sebagai bukan sekadar tempat untuk didiami, tetapi ruang yang mewujudkan rasa kebersamaan, diterima dan menjadi sebahagian daripada komuniti itu.

Nga berkata program seumpama itu seharusnya menjadi platform untuk memperkukuh kefahaman, sifat belas kasihan dan hormat-menghormati dalam kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai latar belakang.

Sementara itu, beliau berkata muzik kekal sebagai satu daripada medium penghubung manusia kerana ia merentasi bahasa, budaya dan geografi.

Menurut Nga, kepelbagaian Malaysia wajar dilihat sebagai satu aset dan bukannya cabaran memandangkan ia menyumbang kepada kreativiti, ketahanan dan dinamisme negara.

Konsert berkenaan menampilkan persembahan daripada Kinta Valley String Orchestra, Orkestra Kuala Lumpur serta Feroci Philharmonic Orchestra, yang menghimpunkan pemuzik daripada pelbagai latar belakang dalam meraikan persahabatan dan perpaduan menerusi muzik. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast