Isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid.

KUALA LUMPUR – Peguam kepada balu Allahyarham Tun Daim Zainuddin menafikan Toh Puan Nai’mah Khalid dan anak-anaknya tidak dapat dihubungi.

Firma guaman Raj & Sach berkata, kenyataan yang dikeluarkan polis memberi gambaran mengelirukan mengenai tahap kerjasama anak guam mereka dengan pihak penyiasat.

“Dakwaan mengelirukan itu mewujudkan gambaran yang sama sekali tidak tepat mengenai tahap kerjasama anak guam kami.

“Hakikatnya, peguam telah memberikan maklum balas secara bertulis pada hari yang sama notis Polis Diraja Malaysia (PDRM) diterima,” kata firma itu.

Dalam kenyataan hari ini, peguam itu juga mengkritik penggunaan Seksyen 124B Kanun Keseksaan, dengan menyatakan bahawa siasatan bermula daripada laporan polis yang dibuat oleh bekas pekerja yang telah diberhentikan daripada pasukan Naimah.

Menurutnya, siasatan yang berasaskan ‘keluhan seorang bekas pekerja yang ditamatkan perkhidmatan’ menunjukkan kegagalan dalam proses penelitian sewajarnya dan menyebabkan pembaziran sumber awam, termasuk pengambilan keterangan daripada 17 individu.

Peguam terbabit juga memberi amaran terhadap penggunaan Sosma, iaitu undang-undang yang diwujudkan untuk menangani ancaman keganasan dan keselamatan negara, terhadap apa yang mereka sifatkan sebagai pertikaian pekerjaan yang tidak berasas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar sebelum ini berkata polis telah cuba menghubungi Naimah sejak siasatan itu dimulakan.

Beliau berkata semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati Naimah serta dua anak lelakinya, Amir Zainuddin dan Amin Zainuddin, tidak berada dalam negara.

Kumar berkata, kertas siasatan berhubung kes itu sudah diserahkan kepada AGC dan polis kini menunggu arahan selanjutnya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika disabitkan kesalahan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast