BAYANGKAN sebuah persidangan yang kelihatan sah pada pandangan pertama. Panggilan kertas kerja dihantar secara profesional, laman sesawangnya kelihatan meyakinkan, dan janji yang ditawarkan pula cukup menarik untuk menarik perhatian penyelidik.
Lebih meyakinkan, penyertaan tersebut turut melalui semakan dan kelulusan institusi sebelum dana penyelidikan digunakan. Pada ketika itu, tiada sebab yang jelas untuk meragui kesahihannya.
Bayangkan pula sebuah persidangan yang mengenakan bayaran hampir RM2,500 bagi satu kertas kerja. Bagi penyelidik yang ingin membentangkan empat hasil penyelidikan dalam satu acara, jumlah keseluruhan boleh menghampiri RM9,000.
Itu belum termasuk caj tambahan bagi setiap halaman yang melebihi had tertentu serta bayaran tambahan sekiranya bilangan penulis melebihi kuota yang ditetapkan.
Semuanya kelihatan seperti prosedur biasa, namun apabila dihimpunkan, ia menjadi satu kos yang sangat besar atas nama perkongsian ilmu. Lebih mengecewakan, apa yang dijanjikan tidak semestinya seiring dengan apa yang diterima.
Ada persidangan yang mempromosikan peluang penerbitan dalam pangkalan data tertentu, tetapi akhirnya hanya menawarkan pilihan yang jauh lebih rendah nilainya.
Apabila peserta mempersoalkan perkara tersebut atau meminta pemulangan wang, mereka tidak menerima refund sebenar dalam tunai. Sebaliknya, mereka hanya ditawarkan voucher atau kredit untuk digunakan bagi edisi persidangan yang sama pada tahun berikutnya.
Pada zahirnya, tawaran itu kelihatan seperti satu bentuk pampasan. Namun realitinya, penyelidik berada dalam keadaan serba salah. Jika penyertaan diteruskan, mereka seolah-olah dipaksa kekal dalam sistem yang telah mengecewakan mereka.
Jika menarik diri, wang yang telah dibayar tidak dapat digunakan untuk menyertai persidangan lain yang lebih berkualiti.
Bagi penyelidik yang terikat dengan tempoh geran, KPI pembentangan, KPI penerbitan dan keperluan pelaporan projek, kedua-dua pilihan membawa kerugian. Ia bukan situasi menang-menang, tetapi situasi di mana kedua-dua jalan membawa implikasi yang tidak menguntungkan.
Persoalannya, jika sebuah syarikat pelancongan menjanjikan pakej ke Paris tetapi akhirnya menghantar pelanggan ke destinasi yang jauh lebih rendah nilainya, adakah pengguna akan menerimanya begitu sahaja?
Mengapa apabila perkara yang hampir sama berlaku dalam dunia akademik, ia sering dianggap sebagai perkara biasa?
Apa yang digambarkan di atas merupakan antara ciri yang sering dikaitkan dengan fenomena persidangan pemangsa atau predatory conference yang semakin membimbangkan di seluruh dunia.
Menurut laporan InterAcademy Partnership (IAP) yang diringkaskan oleh Eos, menjelang tahun 2017 bilangan persidangan pemangsa dilaporkan telah melebihi bilangan persidangan akademik yang benar-benar sah dan berkualiti.
Dalam kajian yang dijalankan selama dua tahun melibatkan lebih 1,800 penyelidik dari 112 negara, seramai 80 peratus responden menyatakan bahawa jurnal dan persidangan pemangsa sama ada sudah menjadi masalah serius di negara mereka atau sedang menuju ke arah itu.
Lebih membimbangkan, ramai mangsa sebenarnya tidak sedar bahawa mereka telah diperdaya. Daripada responden yang sama, empat peratus mengakui pernah menghadiri persidangan pemangsa.
Daripada jumlah tersebut, satu peratus menyertainya secara sedar, manakala tiga peratus langsung tidak mengetahui bahawa mereka telah terlibat dengan persidangan yang meragukan.
Tambahan pula, enam peratus lagi tidak pasti sama ada persidangan yang mereka hadiri itu benar-benar tulen atau sebaliknya.
Fenomena ini berkembang kerana penganjurnya memahami tekanan yang sedang dihadapi oleh komuniti akademik.
Dalam dunia akademia hari ini, kejayaan sering diukur melalui jumlah penerbitan, pembentangan persidangan, indeks sitasi dan pencapaian KPI.
Budaya “publish or perish” yang semakin menebal telah mewujudkan permintaan yang tinggi terhadap platform penerbitan dan pembentangan yang cepat.
Keadaan ini menjadikan penyelidik, khususnya penyelidik muda dan pelajar pascasiswazah, sebagai sasaran yang mudah.
Nature dalam editorialnya pada Julai 2024 secara khusus memberi amaran bahawa golongan penyelidik awal terjaya merupakan kumpulan yang paling terdedah kepada eksploitasi persidangan dan jurnal pemangsa.
Keinginan untuk memenuhi syarat tamat pengajian, meningkatkan profil akademik atau memenuhi KPI institusi sering dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Malah, taktik yang digunakan juga semakin canggih. Siasatan terhadap 100 persidangan yang dianjurkan oleh OMICS mendapati bahawa 60 peratus daripadanya menyenaraikan nama individu yang tidak pernah bersetuju untuk terlibat sebagai penganjur atau peserta.
Nama akademik terkenal digunakan tanpa kebenaran bagi mewujudkan persepsi bahawa sesuatu persidangan itu mempunyai kredibiliti yang tinggi.
Dari sudut kewangan pula, persidangan pemangsa sering dikritik kerana mengenakan pelbagai caj tambahan yang tidak dijelaskan dengan telus pada peringkat awal.
Menurut laporan Nature, keuntungan mereka bukan sahaja datang daripada yuran pendaftaran, malah daripada pelbagai bayaran lain yang berkaitan dengan penginapan, bahan persidangan, pengangkutan dan pelbagai kos sampingan yang hanya diketahui selepas peserta membuat komitmen. Apabila peserta cuba mendapatkan semula wang mereka, keadaan menjadi lebih rumit.
Jeffrey Beall, antara pengkaji terawal yang mendedahkan fenomena ini, mendokumentasikan bahawa OMICS tidak memberikan refund tunai walaupun dalam keadaan tertentu persidangan dibatalkan.
Sebaliknya, peserta hanya diberikan kredit untuk digunakan pada program lain. Corak ini menunjukkan bagaimana peserta sering dikekalkan dalam ekosistem yang sama tanpa diberikan kebebasan untuk memilih alternatif yang lebih baik.
Keseriusan isu ini terbukti apabila Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat mengarahkan OMICS Group membayar USD50.1 juta kepada Federal Trade Commission (FTC) atas kesalahan memperdaya penyelidik dan pengguna.
Dalam penghakimannya, Hakim Gloria M. Navarro menegaskan bahawa: “Defendants did not participate in an isolated, discrete incident of deceptive publishing, but rather sustained and continuous conduct over the course of years.”
Kenyataan tersebut menggambarkan bahawa amalan ini bukan insiden terpencil, sebaliknya satu bentuk eksploitasi yang berlaku secara sistematik dan berterusan.
Malaysia juga tidak terkecuali daripada cabaran ini. Pada tahun 2020, penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya telah memberi amaran bahawa jurnal dan persidangan pemangsa mempunyai sedikit atau tiada proses semakan rakan sejawat, dan tujuan utama kewujudannya adalah untuk mengaut keuntungan melalui yuran pemrosesan artikel serta yuran pendaftaran persidangan.
Kebimbangan terhadap integriti penerbitan akademik bukan perkara baharu di Malaysia. Laporan UM Research pada tahun 2023 menyatakan bahawa Malaysia antara negara yang mencatatkan kadar artikel meragukan yang tinggi dalam pangkalan data akademik global.
Laporan media tempatan pula pernah mendedahkan bahawa ratusan artikel yang melibatkan penyelidik Malaysia dikenal pasti diterbitkan dalam jurnal yang dikategorikan sebagai predatory.
Selain menjejaskan reputasi penyelidik, fenomena ini turut memberi kesan kepada imej institusi pengajian tinggi negara dalam era persaingan ranking dan reputasi akademik global.
Walaupun pelbagai universiti di Malaysia telah mengeluarkan garis panduan dan amaran berkaitan jurnal serta persidangan pemangsa, sehingga kini belum wujud satu platform nasional yang berfungsi sebagai pusat rujukan, semakan dan pelaporan secara bersepadu bagi komuniti penyelidik.
Akibatnya, maklumat mengenai penganjur yang meragukan, aduan peserta dan amaran risiko sering tersebar secara berasingan antara institusi tanpa satu repositori nasional yang boleh diakses oleh semua penyelidik.
Justeru, isu persidangan pemangsa tidak boleh lagi dilihat sebagai kelemahan individu semata-mata.
Dalam banyak keadaan, penyelidik menyertai persidangan tersebut kerana ia kelihatan sah, telah melalui semakan institusi, dan memenuhi keperluan pengurusan geran.
Hakikatnya, yang sedang dieksploitasi bukan sahaja penyelidik, tetapi keseluruhan sistem akademik yang terlalu bergantung kepada ukuran kuantitatif seperti bilangan penerbitan, pembentangan dan indeks prestasi. Lebih membimbangkan, wang yang digunakan bukan sekadar wang peribadi penyelidik.
Dalam banyak keadaan, ia melibatkan dana penyelidikan yang datang daripada geran kerajaan, universiti dan sumber awam.
Setiap ringgit yang mengalir kepada persidangan yang meragukan ialah ringgit yang gagal menghasilkan impak ilmu yang sebenar. Kerugiannya bukan sahaja ditanggung oleh penyelidik, tetapi juga oleh institusi, pembayar cukai dan negara.
Atas sebab itu, Kementerian Pendidikan Tinggi wajar mempertimbangkan pembangunan satu sistem nasional yang membolehkan penyelidik menyemak status penganjur, melaporkan pengalaman, menerima amaran awal dan mengakses rekod aduan yang telah disahkan.
Sama ada dinamakan MyCARES atau sebaliknya, platform sedemikian boleh menjadi instrumen penting dalam melindungi integriti penyelidikan negara dan memastikan dana penyelidikan digunakan pada saluran yang benar-benar berkualiti.
Mereka tidak menjual ilmu. Mereka menjual harapan. Mereka menjual keperluan penyelidik untuk memenuhi KPI, memenuhi syarat geran, menamatkan pengajian dan membina reputasi akademik.
Selagi tekanan untuk menerbitkan dan membentang diukur semata-mata melalui angka, selagi itulah akan wujud pihak yang bersedia menjadikan tekanan tersebut sebagai model perniagaan.
Fenomena persidangan pemangsa tidak akan berakhir selagi penyelidik terpaksa memilih antara kehilangan wang atau kehilangan KPI.
Dan selagi eksploitasi boleh berselindung di sebalik bahasa akademik, “perkongsian ilmu” akan terus menjadi perniagaan yang mengaut keuntungan daripada kepercayaan. MALAYSIAGAZETTE

Oleh: Noor Aslinda Abu Seman
Pensyarah Kanan Johor Business School
















