Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik Hasim ketika sidang media berkenaan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih, Tapah, sejak 24 Mei lalu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 03 JUN 2026.

TAPAH – Polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah yang dikaitkan dengan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih sejak 24 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, sebaliknya operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diteruskan dalam skala kecil menjurus kepada siasatan Kes Orang Hilang.

“Saya faham ada berlegar-legar di media sosial berkenaan dengan along (dan sebagainya). Tetapi setakat ni (hasil) siasatan kita mendapati tiada unsur jenayah melibatkan kehilangan mangsa ini.

“Dan saya minta kepada media uar-uarkan supaya tidak perlu hebohkan benda itu (spekulasi). (Sebaliknya) kita fokus pada pencarian kita di Gunung Batu Putih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sidang Media Operasi SAR Mangsa Hilang Gunung Batu Putih di IPD Tapah, di sini pada Rabu.

Hadir sama Pegawai Pemerintah Batalion Tiga Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Azhar Hashim serta Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad.

Media sebelum ini melaporkan kakak kepada Jaslinda, Jasima Saludin, kesal dengan sikap segelintir warganet yang menyalahkan adiknya berhubung kehilangan pendaki wanita berkenaan.

Jasima berkata, keluarganya kini berdepan ujian berat susulan kehilangan adiknya dan keadaan itu menjadi lebih sukar apabila terpaksa membaca pelbagai komen negatif serta tuduhan tidak berasas di media sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast