Azizee Ismail.

BUKIT MERTAJAM – Polis Pulau Pinang melumpuhkan tiga sindiket penipuan antarabangsa yang beroperasi di sekitar daerah ini dengan penahanan 32 suspek warga China, Taiwan, Vietnam, Jepun dan tempatan menerusi tiga serbuan berasingan pada Isnin lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Pulau Pinang itu berjaya menumpaskan sindiket ‘love scam’, penipuan pertukaran mata wang kripto (USDT) dan ‘phone scam’ yang menyasarkan mangsa dari beberapa negara termasuk Malaysia, Taiwan, China dan Jepun.

Beliau berkata, serbuan pertama di Taman Pinggiran Bukit Minyak berjaya menumpaskan sindiket ‘love scam’ yang dipercayai beroperasi sejak Januari lalu.

“Seramai 10 warga asing ditahan membabitkan lapan lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang warga Taiwan berusia antara 24 hingga 41 tahun.

“Sindiket ini dipercayai menyasarkan mangsa dari Malaysia, China dan Taiwan. Polis turut menemui skrip penipuan yang digunakan sindiket selain merampas 16 unit komputer, 23 telefon bimbit dan empat unit router WiFi dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM78,000,” katanya dalam kenyataan di sini.

Azizee berkata, serbuan kedua pula membongkar sindiket penipuan pertukaran mata wang kripto (USDT) yang menyasarkan mangsa dari Taiwan.

“Seramai 15 individu ditahan membabitkan enam lelaki dan seorang wanita warga Taiwan, dua lelaki dan dua wanita warga Vietnam serta empat lelaki warga tempatan berusia antara 20 hingga 49 tahun.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu mula beroperasi sekitar April lalu. Polis turut merampas 28 unit komputer, 21 telefon bimbit dan sebuah router WiFi dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM25,000,” katanya.

Tambah beliau, serbuan ketiga berjaya menumpaskan sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai polis Jepun bagi memperdaya mangsa dari Jepun dan Taiwan.

“Seramai tujuh warga asing ditahan membabitkan lima lelaki warga Jepun dan dua lelaki warga Taiwan berusia antara 20 hingga 47 tahun.

“Polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan bagi menyokong kegiatan penipuan termasuk telefon bimbit, komputer riba, iPad, pakaian seragam Polis Osaka, kad kuasa dan lencana polis palsu serta peralatan komunikasi satelit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM20,000.

“Keseluruhan operasi itu menyaksikan rampasan bernilai RM123,000 dan membabitkan tangkapan warga China, Taiwan, Vietnam, Jepun serta Malaysia,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast