JOHOR BAHRU – Pemuda Barisan Nasional (BN) Johor menyeru rakyat negeri ini memberikan mandat besar kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurut Pemuda BN, ini bagi memastikan kesinambungan kepimpinan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi serta agenda pembangunan yang sedang dilaksanakan dapat diteruskan.

Pihaknya menzahirkan keyakinan penuh dan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Onn Hafiz untuk terus mengetuai BN Johor dalam menghadapi PRN serta seterusnya menerajui kerajaan negeri.

“Keyakinan ini berasaskan pencapaian kerajaan negeri di bawah kepimpinan Onn Hafiz yang berjaya meletakkan Johor sebagai antara negeri paling berdaya saing di negara ini.

“Pelbagai kejayaan dicatatkan dalam aspek pelaburan, pembangunan ekonomi, penciptaan peluang pekerjaan berpendapatan premium, pembangunan perumahan rakyat, program pembasmian kemiskinan, pembangunan belia serta pelaksanaan inisiatif kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Johor kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai status negeri maju menjelang 2030 hasil kepimpinan yang jelas dan stabil.

Sehubungan itu, Pemuda BN Johor menyeru seluruh Bangsa Johor tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang untuk terus memberikan kepercayaan serta mandat yang besar dan kukuh kepada BN.

Menurut kenyataan itu lagi, mandat yang jelas penting bagi memastikan kestabilan politik, kesinambungan dasar pembangunan serta pelaksanaan agenda kemajuan yang sedang dan akan dilaksanakan demi masa depan Johor yang lebih makmur, bermakna dan inklusif.

Pemuda BN Johor turut memaklumkan, jentera parti kini berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi PRN Johor dengan pelbagai persiapan sedang dipergiatkan di semua peringkat

Fokus utama ketika ini ujar beliau, adalah penyusunan portfolio gerak kerja pilihan raya, pengukuhan komunikasi strategik, strategi mendominasi media digital serta perancangan program lapangan bagi memastikan jentera pemuda berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi.Pemuda BN Johor komited untuk terus menjadi antara teras kekuatan jentera BN dengan menggerakkan tenaga anak muda secara tersusun, agresif dan berkesan, katanya.

Kenyataan bersama-sama itu ditandatangani Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros; Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhi Li; Ketua Pemuda MIC Johor, Mohan Arunachalam dan Ketua Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP) Johor, Dr Vinesh.

Terdahulu Pemuda BN mengadakan mesyuarat di sini malam tadi membincangkan berkenaan PRN Johor- MalaysiaGazette

Caption gambar: Azleen dan kepimpinan Pemuda BN mengadakan mesyuarat di Johor Bahru malam tadi bagi membincangkan berkenaan PRN Johor

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast