ALOR GAJAH – Cubaan dua lelaki menyamun bersenjatakan parang di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Kuala Sungai Baru di sini Isnin lalu gagal apabila mereka termasuk dalangnya seorang pekerja premis itu diberkas polis.
Malah, suspek pekerja berusia 23 tahun juga turut tertinggal sebelah seliparnya ketika cuba melarikan diri sebelum ia dijumpai pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5 pagi pada 1 Jun lalu, apabila jurujual berusia 18 tahun tiba-tiba diacukan parang oleh suspek berusia 23 tahun memakai bertopi keledar yang menyerbu masuk ke dalam kedai.
“Mangsa yang ketakutan kemudian melarikan diri ke dalam stor sebelum melihat tindakan suspek menerusi paparan kamera litar tertutup (CCTV).
“Suspek kemudian masuk ke bahagian kaunter pembayaran dan mengambil beberapa keping sampul berisi wang tunai di bawah kaunter sebelum melarikan diri bersama seorang lagi rakannya berusia 19 tahun yang menunggu di pintu masuk.
“Hasil siasatan lanjut polis percaya suspek utama adalah pekerja premis sama berusia 23 tahun berdasarkan maklumat dan petunjuk yang diperoleh setakat ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Ahmad berkata, walaupun berjaya melarikan wang tunai kira-kira RM1,000, siasatan mendapati suspek yang tergesa-gesa tertinggal sebelah selipar dipakainya di lorong belakang bangunan ketika melarikan diri.

“Pasukan forensik turut menemui satu sampul simpanan wang mengandungi sejumlah wang dipercayai tercicir ketika suspek melarikan diri.
“Rakaman CCTV juga berjaya merakam kedua-dua suspek yang memakai topi keledar dan pakaian gelap,” katanya.
Mengulas lanjut Ahmad berkata, polis kemudian berjaya memberkas suspek dan hasil ujian saringan air kencing didapati kedua-duanya positif dadah jenis syabu.
“Permohonan reman terhadap suspek dibuat di Kompleks Mahkamah Alor Gajah yang membenarkan reman selama tujuh hari sehingga 9 Jun ini,” katanya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata,” katanya. – MalaysiaGazette
















