KUALA LUMPUR – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk menangguhkan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO bagi tahun 2026 bagi membolehkan seluruh ahli parti memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan dan gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan, keputusan itu telah dipersetujui oleh MKT sebagai langkah memastikan jentera parti di semua peringkat dapat memberi fokus terhadap usaha memperkukuh persediaan menjelang pilihan raya negeri berkenaan.
Katanya, penangguhan mesyuarat berkenaan dibuat demi memastikan keutamaan parti ketika ini tertumpu kepada pengukuhan organisasi dan mobilisasi jentera bagi menghadapi kemungkinan PRN Johor dalam tempoh terdekat.
“Bagi memastikan ketetapan Perlembagaan UMNO terus dipatuhi, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian serta Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian yang perlu dilaksanakan akan diadakan secara serentak di seluruh negara pada tahun 2026.
“Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian-Bahagian ditetapkan berlangsung pada 17, 18 dan 19 Julai 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, UMNO dijangka mengeluarkan maklumat lanjut berhubung pelaksanaan mesyuarat berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran perjalanan mesyuarat di semua bahagian seluruh negara. – MalaysiaGazette















