Lokasi penemuan mayat disyaki dibunuh ditemukan dalam keadaan mereput, tangan diikat dan dibungkus dalam lipatan tilam di sebuah rumah kedai di Pokok Mangga, Melaka kira-kira jam 7 petang, 28 Mei lalu.

MELAKA – Reman lelaki suspek utama pembunuhan rakannya yang mayat ditemukan dibungkus dan diikat sebelum dibalut dengan tilam sehingga reput di sebuah rumah kedai di Pokok Mangga di sini akhir bulan lalu disambung tujuh hari lagi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, ia selepas tempoh reman pertama terhadap suspek berusia 40-an selama tujuh hari bermula 29 Mei lalu berakhir hari ini.

“Ya, tempoh reman suspek dilanjutkan tujuh hari lagi,” katanya ringkas ketika diminta mengulas perkembangan kes menggemparkan negara itu.

Kejadian pembunuhan tragis itu disedari pemilik premis pukul 7 petang, 28 Mei lalu sebelum pemeriksaan polis mendapati mayat dalam keadaan mereput di tingkat satu rumah kedai berkenaan.

Mayat itu ditemukan dibungkus dalam lipatan tilam dengan kedua-dua tangan dipercayai diikat sekali gus menimbulkan syak wujud unsur jenayah.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar

Dzulkhairi dilaporkan berkata, mayat dipercayai lelaki yang juga merupakan rakan suspek disyaki telah meninggal dunia antara dua minggu hingga sebulan lalu.

Susulan penemuan itu, polis menahan suspek dan hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis syabu selain mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.

Siasatan juga mendapati, salah faham dan tuduh-menuduh terhadap keluarga suspek disyaki menjadi motif pembunuhan selepas tercetus pergaduhan antara kedua-dua mereka ketika menghisap dadah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast