Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada sidang media pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan lewat malam ini.

SEREMBAN – Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan berkuat kuasa esok selepas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir memperkenankan pembubaran tersebut sekitar pukul 8.30 malam tadi.

Pengumuman itu dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam sidang media khas di kediaman rasminya di sini pada pukul 11.30 malam selepas menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap.

Aminuddin berkata, beliau terlebih dahulu mendapatkan persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bagi memohon pembubaran DUN.

Menurutnya, beliau tiba di Istana Hinggap sekitar 8 malam sebelum Tuanku Muhriz memperkenankan permohonan pembubaran itu kira-kira setengah jam kemudian.

“Alhamdulillah, Tuanku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah memperkenankan pembubaran DUN Negeri Sembilan sekitar 8.30 malam dan pembubaran itu berkuat kuasa esok 5 Jun 2026,” katanya malam ini.

Beliau berkata, pembubaran tersebut dibuat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan untuk memilih kerajaan negeri yang baharu.

Terdahulu, suasana di kediaman rasmi Menteri Besar mula menjadi tumpuan apabila pengamal media menerima jemputan sidang media khas kira-kira sejam sebelum pengumuman dibuat.

Puluhan petugas media kemudian berkumpul di luar pekarangan kediaman rasmi sementara menunggu sidang media yang pada awalnya dijadualkan bermula pukul 11 malam.

Beberapa kenderaan dipercayai membawa pimpinan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan turut dilihat memasuki kawasan kediaman rasmi berkenaan menjelang pengumuman dibuat.

Antara yang hadir ialah Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau, Teo Kok Seong yang sempat menyapa petugas media sebelum memasuki kediaman rasmi itu.

Pergerakan keluar masuk pimpinan kerajaan negeri serta kehadiran Aminuddin selepas selesai menghadap Tuanku Muhriz menguatkan lagi spekulasi bahawa pembubaran DUN akan diumumkan malam ini.

Dengan pembubaran tersebut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat bagi menetapkan tarikh penamaan calon, pengundian awal dan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan.

Sebelum itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga telah mengumumkan DUN Johor dibubar pada 1 Jun lalu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

DUN Negeri Sembilan dijangka bubar esok atau Isnin depan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast