KUALA LUMPUR – Ura-ura pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan semakin memuncak apabila sumber politik mendakwa pengumuman mengenainya dijangka dibuat seawal esok atau paling lewat Isnin depan.
Walaupun kerajaan negeri masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi, perkembangan politik sejak beberapa hari lalu dilihat menguatkan lagi spekulasi bahawa Negeri Sembilan bakal memasuki fasa pilihan raya dalam masa terdekat.
Menurut sumber mengikuti rapat perkembangan tersebut, parti-parti politik di negeri itu kini berada dalam mod siap siaga dengan pelbagai persiapan dilakukan termasuk penyelarasan jentera, penilaian kekuatan kerusi serta perbincangan berkaitan calon.
“Ramai menjangkakan pengumuman akan dibuat esok. Sebab itu gerak kerja pilihan raya sudah mula dirasai di pelbagai peringkat,” katanya kepada MalaysiaGazette malam ini.
Menambahkan lagi spekulasi berhubung kemungkinan pembubaran DUN, UMNO Negeri Sembilan difahamkan mengadakan pertemuan khas melibatkan pimpinan parti bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan membincangkan kesiapsiagaan jentera menghadapi pilihan raya mengejut petang tadi.

Sumber berkata, pertemuan tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada langkah awal parti berkenaan untuk memastikan seluruh jentera berada dalam keadaan bersedia sekiranya pembubaran DUN diumumkan dalam masa terdekat.
“Bukan UMNO sahaja, parti-parti lain juga dilihat mula memperkemaskan persiapan masing-masing. Keadaan sekarang menunjukkan semua pihak tidak mahu mengambil risiko untuk menunggu saat akhir,” dedah beliau.
Sumber itu berkata, terdapat pandangan dalam kalangan pemain politik tempoh sekarang dianggap masa yang sesuai untuk mendapatkan mandat baharu daripada rakyat meskipun pentadbiran kerajaan negeri baharu memasuki tahun ketiga selepas Pilihan Raya Negeri 2023.
Katanya, sentimen rakyat terhadap prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini turut menjadi antara faktor yang banyak dibincangkan menjelang kemungkinan pilihan raya negeri diadakan.
“Di peringkat akar umbi memang ada rungutan mengenai beberapa isu tempatan dan prestasi sebahagian wakil rakyat. Perkara itu tidak boleh dinafikan.
“Sebab itu ada yang melihat pilihan raya kali ini sebagai medan untuk mengukur semula tahap sokongan rakyat terhadap kerajaan negeri,” katanya lagi.
Difahamkan, beberapa kerusi yang kini dikuasai PH turut menjadi perhatian susulan dakwaan berlaku perubahan sentimen pengundi berbanding ketika pilihan raya lalu.
Bagi PKR, antara kawasan yang disebut-sebut berdepan cabaran lebih sengit ialah Ampangan dan Kuala Pilah, manakala DAP pula dijangka berdepan saingan lebih kuat di beberapa kawasan termasuk Temiang, Chennah dan Repah.
Bagaimanapun, sumber itu mengingatkan sebarang ramalan mengenai kemenangan atau kekalahan masih terlalu awal kerana banyak faktor boleh berubah selepas calon diumumkan dan kempen bermula.
Menurutnya, kemarahan terhadap PH juga tidak semestinya diterjemahkan sebagai sokongan automatik kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Walaupun terdapat pandangan UMNO berpotensi memperbaiki prestasinya pada PRN kali ini, beliau berkata sebahagian pengundi masih menyimpan rasa kecewa terhadap politik lama serta pemimpin yang dikaitkan dengan pelbagai janji yang gagal ditunaikan sebelum ini.
“Ramai yang marah PH, itu memang ada. Tetapi bukan semua yang marah itu akan kembali menyokong UMNO.
“Pengundi sekarang lebih berhati-hati. Mereka mahu melihat calon yang boleh bekerja dan benar-benar memahami masalah rakyat.
“Sebab itu muka baharu dan pemimpin yang membawa semangat perjuangan asal parti lebih mudah diterima berbanding naratif politik lama,” ujarnya.

Setakat artikel ini ditulis, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun juga belum mengeluarkan sebarang jemputan sidang media khas berkaitan pembubaran DUN.
Sumber politik itu turut mendakwa dua tarikh yang paling banyak diperkatakan ketika ini ialah Jumaat dan Isnin depan.
“Kalau tidak diumumkan Jumaat, ramai menjangkakan Isnin akan menjadi hari penentunya. Itu yang sedang diperkatakan dalam kalangan pemain politik ketika ini,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa segala keputusan masih tertakluk kepada pengumuman rasmi kerajaan negeri.
Sehingga kini, kerajaan Negeri Sembilan masih berahsia mengenai langkah seterusnya, namun bahang pilihan raya semakin dirasai dengan semua parti dilihat mula menyusun langkah menjelang kemungkinan PRN yang dijangka menjadi antara pertarungan politik paling sengit tahun ini. – MalaysiaGazette
















