KUALA LUMPUR – Krisis tenaga global yang semakin meruncing serta peningkatan mendadak permintaan elektrik akibat perkembangan kecerdasan buatan (AI) menuntut ASEAN mempercepatkan integrasi tenaga serantau menerusi Grid Kuasa ASEAN bagi menjamin bekalan tenaga yang selamat, mampu milik dan mampan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun krisis tenaga semasa berpunca daripada ketegangan di Selat Hormuz yang terletak jauh dari rantau ini, kesannya dirasai di seluruh dunia apabila rantaian bekalan tenaga terganggu sehingga mencetuskan kecemasan tenaga di beberapa negara.
Menurut beliau, situasi itu membuktikan bahawa dunia kini saling berkait rapat dan semua negara terdedah kepada kerentanan luaran yang sama dalam suasana geopolitik global yang tidak menentu.
“Krisi ini memaksa kita berdepan dengan hakikat bahawa bahan api fosil yang telah menggerakkan tamadun manusia sejak Revolusi Perindustrian bukan sahaja sumber yang terhad, malah mungkin kurang selamat dan kurang boleh dipercayai berbanding apa yang pernah kita andaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Peralihan Tenaga anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Anwar berkata, cabaran tenaga dijangka menjadi lebih besar apabila permintaan tenaga di rantau ASEAN diunjurkan meningkat lebih 60 peratus menjelang 2040 susulan proses pembandaran dan perindustrian yang berterusan.
Katanya, perkembangan pesat AI turut mempercepatkan peningkatan permintaan tenaga apabila pusat data dan infrastruktur pengkomputeran maju memerlukan penggunaan elektrik pada tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini.
“Ketika negara-negara berlumba membangunkan ekonomi digital dan memanfaatkan pertumbuhan berasaskan AI, cabaran yang dihadapi bukan sekadar menghasilkan lebih banyak tenaga, tetapi memastikan tenaga tersebut kekal selamat, mampu milik dan mampan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan komitmen Malaysia terhadap pembangunan Grid Kuasa ASEAN yang menurutnya bukan lagi sekadar aspirasi, sebaliknya satu keperluan bagi memenuhi permintaan tenaga serantau secara lebih cekap.
Anwar turut memaklumkan bahawa, pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) dipertingkat bagi Grid Kuasa ASEAN sekali lagi ditegaskan sebagai antara hasil utama Sidang Kemuncak ASEAN di Cebu di bawah kepengerusian Filipina tahun ini.
Menurut beliau, ASEAN telah membuktikan keupayaan integrasi tenaga serantau menerusi projek perdagangan elektrik rentas sempadan pelbagai hala pertama Asia Tenggara sejak 2022, apabila tenaga hidro boleh baharu dari Laos disalurkan melalui Thailand dan Malaysia ke Singapura.
“Ini membuktikan bukan sahaja kebolehlaksanaan teknikal integrasi tenaga serantau, malah keupayaan ASEAN untuk menterjemahkan cita-cita bersama kepada kerjasama yang nyata,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, tema persidangan tahun ini, “Tenaga dan AI – Sinergi untuk Peralihan Tenaga” amat bertepatan memandangkan sistem tenaga dunia sedang dibentuk semula oleh faktor geopolitik dan teknologi.
Beliau berkata, walaupun AI meningkatkan permintaan elektrik melalui pengembangan pusat data, pengkomputeran awan dan infrastruktur digital, teknologi itu juga mampu membantu mempercepatkan peralihan tenaga menerusi peningkatan kecekapan grid, ramalan penjanaan tenaga boleh baharu serta pengoptimuman penggunaan tenaga dalam sektor industri.
“Cabarannya adalah memastikan pertumbuhan AI tidak mengatasi aspirasi kelestarian yang turut diharapkan dapat disokong olehnya,” katanya.
Mengulas perkembangan sektor digital negara, Perdana Menteri berkata, Malaysia kini muncul sebagai destinasi utama pembangunan infrastruktur digital global hasil kedudukan strategik dan persekitaran pelaburan yang kompetitif.
Menurut beliau, negara terus menarik pelaburan besar dalam sektor pusat data khususnya di Johor dan Lembah Klang, sekali gus meningkatkan tanggungjawab untuk memastikan pertumbuhan digital disokong oleh bekalan tenaga yang mampan.
Beliau menyatakan keyakinan terhadap keupayaan TNB untuk memimpin peralihan tenaga negara serta merealisasikan potensi gabungan AI dan tenaga demi kepentingan rakyat.
“Kita akan menunaikan janji kepada rakyat bahawa peralihan ini akan dilaksanakan secara adil, bekalan tenaga akan kekal terjamin, dan AI akan berkhidmat demi kepentingan negara,” katanya.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada TNB kerana terus menganjurkan Persidangan Peralihan Tenaga sebagai platform penting untuk perbincangan, pertukaran pandangan dan dialog mengenai agenda peralihan tenaga negara. – MalaysiaGazette
















